Selasa, 18 Jun 2019 | 11:46am
PEMANGKU Pentadbir FAA, Dan Elwell. - Foto AFP

Pesawat supersonik komersial mungkin diperkenalkan semula

WASHINGTON: Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat (AS) berkata ia sedang berusaha ke arah mengubah peraturan ujian bagi membenarkan penerbangan udara awam menggunakan pesawat supersonik.

Pada satu majlis di Paris, Pemangku Pentadbir FAA, Dan Elwell, berkata agensi itu sedang berusaha untuk "membolehkan kembalinya perjalanan supersonik awam, sambil memastikan kesan alam sekitar difahami dan ditangani dengan baik."

Lewat minggu ini, FAA akan mengeluarkan peraturan yang dicadangkan untuk "membenarkan penerbangan khas bagi pesawat supersonik," kata Elwell.

Inilah langkah pertama dalam mengkaji semula peraturan 45 tahun FAA yang mengendalikan pengangkutan supersonik.

Syarikat pemula AS, Aerion, Boom Supersonic dan Spike Aerospace sedang berusaha untuk memperkenalkan semula perjalanan penumpang supersonik buat kali pertama sejak persaraan Anglo-Perancis Concorde pada 2003.

Peraturan itu "mengubah dan menjelaskan prosedur peraturan sedia ada untuk cara yang lebih berkesan bagi mendapatkan kelulusan FAA menguji pesawat supersonik."

Peraturan itu "akan menyediakan garis panduan selaras yang jelas berhubung cara mendapatkan kelulusan untuk menjalankan ujian penerbangan.

Ia adalah langkah utama yang perlu untuk penyelidikan dan pembangunan selanjutnya dalam segmen yang sedang muncul, dan akhirnya membawa pesawat mereka ke pasaran," tambah Elwell dalam ucapan yang disediakan FAA.

Menurut draf cadangan FAA yang dilihat Reuters, agensi itu berkata cadangan pembaharuan "bertujuan menyokong pertumbuhan industri supersonik awam" dan akan "menyediakan kejelasan dan maklumat yang lebih berhubung keperluan untuk membenarkan penerbangan khas bagi tujuan ujian ke atas pesawat supersonik."

Februari lalu, Boeing Co berkata ia membuat pelaburan besar dalam syarikat pembangun pesawat jet supersonik Aerion, berikutan pengeluar pesawat terbesar di dunia itu meninjau memanfaatkan peningkatan permintaan bagi pesawat mewah yang dapat mengurangkan masa perjalanan.

Boeing akan menyediakan perkhidmatan kejuruteraan, pembuatan dan ujian penerbangan untuk pesawat perniagaan supersonik bernilai AS$120 juta dikeluarkan Aerion, yang dijadualkan membuat penerbangan sulung pada 2023.

Kongres tahun lalu meluluskan undang-undang yang mengarahkan FAA mengeluarkan peraturan berhubung penetapan piawaian bunyi bising masa pendaratan dan berlepas, dan keperluan ujian tahap kebisingan pesawat supersonik awam menjelang Mac 2020, selain memodenkan proses permohonan menjelang Disember 2019.

Pesawat supersonik generasi akan datang, sementara ia lebih senyap dan lebih cekap bahan api berbanding Concorde, berhadapan kesukaran untuk memenuhi tahap piawai bunyi bising dan pelepasan karbon pesawat konvensional sedia ada disebabkan kekangan enjin dan pembakaran bahan api yang lebih tinggi. - Reuters

Berita Harian X