Rabu, 19 Jun 2019 | 12:16pm
Pengerusi PUNB, Datuk Hazimah Zainuddin. - Foto Owee Ah Chun
Pengerusi PUNB, Datuk Hazimah Zainuddin. - Foto Owee Ah Chun

Syarikat tempatan perlu ikut trend semasa pasaran

KUALA LUMPUR: Syarikat di Malaysia perlu menggabungkan model-model perniagaan yang bersesuaian bagi menyelaraskannya dengan trend pasaran dan keperluan semasa, menurut Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB).

Pengerusinya, Datuk Hazimah Zainuddin, berkata keperluan untuk menambah baik model perniagaan sangat penting, atau perniagaan mungkin berhadapan kemungkinan ketinggalan, menjadi tidak relevan dan ditutup akhirnya.

“Memandangkan permintaan berubah, perkara yang kita tidak pernah terfikir lima atau 10 tahun lalu, kini berlaku di depan mata kita.

“Lebih banyak perubahan akan berlaku menerusi pengenalan Industri 4.0, kini dirujuk sebagai revolusi industri keempat, yang sering diucap sejak 2011,” katanya dalam ucapan pada Seminar Pelaung-peluang Merapatkan Malaysia-Taiwan di Taipei.

Seminar yang diadakan di premis Persatuan Pengimport dan Pengeksport Taipei sempena Misi Perdagangan PUNB ke Taipei, dianjurkan bersama oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Taiwan.

Misi perdagangan dari 17 hingga 21 Jun disertai sembilan syarikat terkemuka Mlaysia yang terbabit dalam sektor makanan dan minuman serta kesejahteraan, diketuai Hazimah sendiri.

Sesi padanan perniagaan, taklimat mengenai trend semasa selain lawatan membiasakan diri dengan sektor halal Taiwan oleh pakar industri tempatan juga antara atur cara misi berkenaan.

Misi perdagangan itu juga bersempena Pameran Makanan Antarabangsa Taipeh (Food Taipeh) ke-29 oleh Majlis Pembangunan Perdagangan Luar Taiwan.

Hazimah berkata, usaha mengadakan misi perdagangan itu adalah selari dengan matlamat PUNB untuk meletakkan 25 usahawan Malaysia ke domain antarabangsa menjelang 2025.

“Saya berharap misi perdagangan sulung ini akan memberi manfaat kepada usahawan yang mahu berjaya dalam bidang perniagaan,” katanya.

Beliau berkata, perniagaan perlu mendigitalkan syarikat masing-masing memandangkan pengguna kini memilih untuk membuat pembayaran secara digital menerusi e-dompet dan bukan bayaran tunai, kerana ia lebih selamat.

“Oleh itu, mereka perlu memastikan perniagaan masing-masing sentiasa berada dalam kedudukan ke hadapan, menggaji pekerja mahir, kreatif dan set minda yang tepat untuk menyahut cabaran ekoran perubahan teknologi, yang bergerak laju,” kata Hazimah.

Sebagai agensi pembangunan yang memperjuangkan usahawan Bumiputera, beliau berkata PUNB akan berusaha meningkatkan persekitaran sokongan bagi membantu meningkatkan usahawan ke tahap kompetitif dan pada masa yang sama menyediakan ruang yang sama adil di peringkat antarabangsa.

-BERNAMA

Berita Harian X