Rabu, 19 Jun 2019 | 2:42pm
Naib Presiden MDEC, Norhizam Kadir. NSTP/Mohd Yusni Ariffin

MIPC terima 12 cadangan mantapkan inovasi

KUALA LUMPUR: Majlis Dasar Inovasi Malaysia (MIPC) menerima 12 cadangan daripada pelbagai pihak bagi memantapkan lagi pembangunan inovasi di negara ini.

Naib Presiden Pembangunan Ekosistem Pertumbuhan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Norhizam Kadir, berkata majlis berkenaan menjadi platform kepada peserta industri dalam menyelesaikan isu berkaitan undang-undang yang mengekang inovasi dilaksanakan.

Beliau berkata, pihak industri yang ingin mengetengahkan isu terutama berkaitan peraturan dan undang-undang perlu diwakili oleh persatuan.

“Kami sudah menerima 12 cadangan sejak dua bulan lalu. Kami akan bawakan cadangan ini ke peringkat selanjutnya yang mana mesyuarat akan dipengerusikan oleh Menteri Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo," katanya pada taklimat media mengenai teknologi kewangan pada Minggu MyFintech 2019 di sini, hari ini.

Norhizam berkata, dengan adanya MIPC, ia akan mendorong perkongsian lebih bersinergi antara sektor awam dan swasta.

Justeru, katanya syarikat teknologi, pelabur dan pemain industri yang relevan dipelawa untuk berkongsi pandangan dan menawarkan cadangan untuk mempercepatkan inovasi dan pertumbuhan syarikat teknologi.

MIPC dipengerusikan MDEC dan disertai pakar industri, pakar inovasi berpengalaman dan pemula niaga, rakan kongsi pembiayaan yang memiliki reputasi baik serta agensi kerajaan lain seperti MaGIC, Cradle dan Futurise.

Ia berperanan untuk memberi nasihat, memudah cara dan penjajaran antara industri dan untuk mencadangkan dasar atau peraturan yang sesuai untuk dilaksanakan.

MIPC terdiri daripada dua jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Penyelarasan Industri yang meliputi bidang kolaborasi industri berhubung inisiatif Teknologi Digital manakala Jawatankuasa Campur Tangan pula memfokus hanya kepada campur tangan terhadap dasar dan peraturan.

Berita Harian X