Khamis, 20 Jun 2019 | 7:24pm
Ketua Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat menyerahkan Pelan Induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) 2.0 dan Buku Meja Kopi ECER kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pelan Induk ECER 2.0 sasar pelaburan RM70 bilion

PUTRAJAYA: Pelan Induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) 2.0 menyasarkan nilai pelaburan swasta baharu sebanyak RM70 bilion, 120,000 peluang pekerjaan serta 60,000 peluang keusahawanan untuk rakyat.

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) hari ini melancarkan pelan induk dari 2018 hingga 2025 itu bagi memacu lonjakan seterusnya pembangunan sosioekonomi ECER.

Ketua Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat, berkata pelan berkenaan dirangka bertujuan dalam usaha untuk merapatkan jurang pembangunan dan meningkatkan taraf kehidupan rakyat di wilayah ini.

Beliau berkata, dengan tema ‘Lonjakan Seterusnya’, pelan itu menggariskan strategi utama, projek berimpak tinggi dan program inklusif berteraskan rakyat yang akan dilaksanakan di ECER bagi mengekalkan transformasinya menjadi wilayah yang tersendiri, dinamik dan kompetitif menjelang 2025 dan seterusnya.

“Pelancaran pelan ini adalah sesuatu yang bersejarah. Dengan memanfaatkan asas kukuh yang dibina di atas pembangunan sosioekonomi ECER dalam tempoh sedekad lalu, Pelan Induk ECER 2.0 dibangunkan berteraskan kesejahteraan rakyat.

“Melalui penyampaian projek dan program berimpak tinggi, rakyat akan terus menerima manfaat melalui peluang inklusif dan saksama untuk meningkatkan kualiti kehidupan melalui peluang pekerjaan dan keusahawanan yang diwujudkan di wilayah ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Pelan Induk ECER 2.0 dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga Pengerusi ECERDC, di sini.

Yang hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Binti Wan Ismail, Menteri Besar negeri-negeri di ECER, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin bin Ali.

Turut dilancarkan ialah Buku Meja Kopi yang diterbitkan untuk memaparkan kejayaan transformasi peserta program ‘empower ECER’ supaya boleh menjadi contoh kepada rakyat bukan hanya di ECER, tetapi di seluruh negara.

Mengulas lanjut, Baidzawi berkata, penekanan turut akan diberikan kepada inisiatif untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan dan membina kumpulan pekerja mahir.

“Usaha ini sangat kritikal bagi ECER untuk berubah kepada ekonomi berasaskan produktiviti dan mengelakkan penghijrahan keluar tenaga kerja,” katanya.

Sepanjang 10 tahun lalu, transformasi sosioekonomi ECER dapat disaksikan menerusi kejayaan mencapai sasaran pelaburan sebanyak RM110 bilion tiga tahun lebih awal daripada sasaran pada 2020.

Sehingga kini, jumlah pelaburan swasta di ECER adalah sebanyak RM115.6 bilion dan 164,500 peluang pekerjaan diwujudkan dengan kira-kira 38,000 usahawan berjaya dibangunkan.

Berita Harian X