Jumaat, 21 Jun 2019 | 5:05pm
MENTERI Pembangunan Usahawan (MED), Datuk Seri Mohd Redzuan Mohd Yusof. - Foto Edmund Samunting

Malaysia mahu perluas ekosistem halal global

KUALA LUMPUR: Malaysia berhasrat untuk mengembangkan lagi ekosistem halal global, khususnya dalam pensijilan halal dan pembangunan bakat untuk memastikan standard yang dibuat adalah selaras dan dipakai secara meluas.

Menteri Pembangunan Usahawan (MED), Datuk Seri Mohd Redzuan Mohd Yusof berkata demikian ketika mengadakan perbincangan meja bulat dengan pembimbing penderas dari Cambridge yang memberikan khidmat nasihat khusus dan umum kepada usaha pembangunan di peringkat awal.

Beliau sedang dalam lawatan kerja ke London dan dijemput bagi menyampaikan ceramah bertajuk, "Prospek Pasaran Halal dan Keusahawanan" di Cambridge Judge Business School.

Ini adalah kali kedua seorang menteri dari Malaysia dipelawa ke Cambridge University yang agak terkemuka dalam tempoh seminggu.

Sebelum ini pada 16 Jun, Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad memberikan ceramah di Cambridge Union.

Semasa di perbincangan berkenaan, Mohd Redzuan berkongsi mengenai perkembangan semasa dalam ekosistem keusahawanan di Malaysia dan bagaimana MED diubah semula bagi menerajui pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk usahawan.

“Pada masa yang sama, beliau juga melahirkan pandangan mengenai gerakan pembangunan halal global,” kata MED dalam satu kenyataan.

Dunia telah menyaksikan pasaran halal muncul sebagai salah satu sektor pertumbuhan baharu dan semakin mendapat momentum dalam negara-negara maju memandangkan keluasan peluang ekonominya yang bernilai AS$2.3 trilion setahun.

Selain daripada pertemuan dengan pembimbing penderas, Mohd Redzuan juga bertemu dengan Pengarah Pendidikan Eksekutif Dr Kishore Gupta untuk meneroka kemungkinan kerjasama dalam latihan keusahawanan, serta mewujudkan perkongsian baharu antara MED dengan Cambridge Judge Business School.

-BERNAMA

Berita Harian X