Isnin, 24 Jun 2019 | 11:35am
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto BERNAMA

Penurunan penarafan tidak jejas PETRONAS - PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan yakin tindakan Moody's menurunkan penarafan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) dari A1 ke A2 tidak akan menjejaskan perkembangan perniagaan syarikat petroleum negara itu, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, malah penilaian dibuat oleh agensi penarafan itu pada Jumaat lalu juga tidak semestinya betul.

"Itu adalah Moody' punya penilaian, tidak semestinya mereka betul, kadang-kadang mereka juga buat penilaian yang tidak betul.

"Jadi kita tidak boleh tegur mereka keranamereka bebas. Dari segi apa yang kita lihat terhadap apa yang PETRONAS sedang buat ketika ini, saya yakin penurunan taraf ini tidak akan menjejaskan perkembangan perniagaan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian apda sidang media selepas merasmikan Persidangan Minyak dan Gas Asia 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Moody's Investors Service menurunkan penarafan penerbit domestik dan mata wang asing senior tidak bercagar PETRONAS kepada A2 daripada A1 serta mengubah unjuran kepada ‘stabil’ daripada ‘negatif’.

Dalam satu kenyataan Jumaat lalu, agensi penarafan global itu berkata, metrik kredit syarikat minyak negara kekal kukuh, namun diberikan penarafan yang lebih disebabkan semakan semula metodologi silang sektor.

Moody’s menyiarkan metodologi rentas sektor yang dikemas kini bertajuk ‘Menilai Impak Kualiti Kredit Kerajaan pada Penilaian Lain’, pada 20 Jun.

Naib Presiden Kanan Moody’s, Vikas Halan berkata hubungan rapat antara kerajaan Malaysia (stabil A3) dan PETRONAS, berdasarkan metodologi yang disemak semula itu, tidak boleh menyokong penarafan bagi Petronas, iaitu dua kedudukan lebih tinggi berbanding negara Malaysia.

Katanya, hubungan syarikat dengan negara (Malaysia) mewujudkan potensi campur tangan kerajaan yang mungkin mempunyai kesan negatif terhadap profil perniagaan atau aliran tunai syarikat.

Berita Harian X