Rabu, 26 Jun 2019 | 3:26pm

Perang dagang AS-China jejaskan perniagaan Asia Pasifik

SINGAPURA: Perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China dengan ketara menjejaskan perniagaan di Asia Pasifik apabila banyak syarikat terpaksa menangguhkan atau membatalkan pelaburan mereka berbanding tahun lalu.

Tinjauan Dewan Perdagangan Amerika di Singapura mendapati impak pelaburan itu meningkat kepada 54 peratus berbanding 50 peratus yang dicatatkan pada 2018.

Memetik laporan Bloomberg, semakin banyak perniagaan mempertimbangkan untuk menyesuaikan semula rantaian bekalan dari China dan AS sejak enam bulan yang lalu berbanding 2018.

Katanya, sebanyak 41 peratus perniagaan menerima impak negatif sederhana manakala lapan peratus menerima impak negatif besar sementara 32 peratus lagi tidak menerima sebarang impak daripada perang perdagangan itu.

“Daripada tinjauan itu, sebanyak 40 peratus perniagaan menjangkakan perang perdagangan dua kuasa besar ekonomi dunia itu akan terus meningkat manakala 30 peratus lagi merasakan ia akan kekal sama dan akan berakhir dalam jangka masa terdekat.

“Hasil kajian menunjukkan gambaran yang lebih gelap bagi perang perdagangan AS-China disebalik pertemuan yang dijadualkan antara Presiden AS, Donald Trump dan rakan sejawatnya dari China, Xi Jinping pada sidang kemuncak G20 akhir bulan ini di Osaka, Jepun.

“Walaupun pelabur masih berharap untuk mengimbangi geseran ekonomi di antara kedua negara itu, mereka mencari kemungkinan senario terburuk, termasuk potensi kenaikan 25 peratus dalam AS$300 bilion barangan China,” katanya.

Kajian itu dijalankan terhadap 144 responden, dengan 90 peratus mempunyai operasi global, Asia Pasifik atau Asia Tenggara.

Daripada jumlah responden itu, sebanyak 61 peratus adalah firma berpangkalan di AS dan 22 peratus perniagaan dalam industri perkilangan.

Tinjauan itu juga menyatakan Vietnam adalah negara yang mendapat manfaat besar dalam perang perdagangan itu, memberikannya peningkatan kukuh disebabkan persekitaran dan kos rendah untuk perniagaan.

Ia juga menjangkakan syarikat antarabangsa juga berpotensi menjadikan India sebagai lokasi utama dalam sektor pembuatan.

Berita Harian X