Khamis, 27 Jun 2019 | 3:53pm
NURASLINA (tiga dari kiri) ketika merasmikan sistem MySAGA di Kuala Lumpur. - Foto Mahzir Mat Isa

IAC sasar 50 agensi kerajaan guna MySAGA

KUALA LUMPUR: Innovation Associates Consulting Sdn Bhd (IAC) menyasarkan sekurang-sekurangnya 50 agensi kerajaan dan universiti awam menggunakan sistem kewangan berasaskan awan yang dipanggil MySAGA, berdasarkan Sistem Perakaunan Standard Bagi Agensi Kerajaan (SAGA) menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nuraslina Zainal Abidin, berkata sistem yang dibangunkan secara bersama dengan UPSI Holdings Sdn Bhd itu direka bagi memenuhi semua keperluan piawai perakaunan dan pengauditan yang ditetapkan bagi laporan kewangan yang diperlukan sama ada keperluan agensi atau Perbendaharaan.

"MySAGA menawarkan penyelesaian ciri pengurusan perniagaan akhir ke akhir yang mana ia meliputi keseluruhan pengurusan kewangan untuk pengguna dan pembekal malah boleh disepadukan dengan aplikasi lain serta mengurangkan masalah percanggahan data.

"Kelebihan sistem ini juga adalah ia dibangunkan berasaskan awan yang dipasang di pangkalan data tempatan dimiliki oleh TM One, membolehkan ia boleh diakses di mana sahaja dengan kawalan keselamatan yang tinggi menggunakan Digicert dan SSL" katanya kepada media selepas merasmikan sistem MySAGA di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Nuraslina berkata, pihaknya merancang memperluaskan penggunaan sistem itu dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terutama sektor perkhidmatan menjelang suku pertama 2020.

Katanya, ia sebagai usaha menyediakan ekosistem PKS dalam mendepani cabaran digitalisasi.

"Kami percaya MySAGA akan menyumbang kepada inisiatif kerajaan sebagai sebuah negara ekonomi digital menerusi hasil kepakaran anak tempatan.

"IAC percaya sistem yang melalui proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama dua tahun ini mampu mengubah stigma pihak luar mengenai perkhidmatan agensi kerajaan," katanya.

Melangkah ke hadapan, IAC bersama UPSI Holdings merancang mengembangkan penggunaan sistem MySAGA ke negara ASEAN lain dengan memasuki pasaran Indoensia sebagai langkah pertama.

"Bagaimanapun, di sana (Indonesia) kita akan lancarkan MySAGA bagi industri PKS terlebih dahulu kerana kita lihat adanya permintaan tinggi terhadap sistem penyelesaian kewangan dalam kalangan usahawan PKS yang berkembang pesat," katanya.

IAC ialah anak syarikat Dagang NeXchange Bhd.

Berita Harian X