Isnin, 1 Julai 2019 | 12:25pm

Pakar PR berkongsi pandangan hadapi cabaran berita palsu

KUALA LUMPUR: PRCA Malaysia dan syarikat perisikan media terkemuka, Isentia, akan menganjurkan Sidang Kemuncak Perhubungan Awam Malaysia pada 11 Julai 2019 di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Bertemakan "Pengurusan Reputasi: Memenangi Kepercayaan Dalam Persekitaran Media Semasa Yang Berubah", sidang kemuncak itu akan mengumpulkan profesional daripada bidang pemasaran, perhubungan awam (PR), komunikasi korporat serta ahli akademik untuk berkongsi pandangan berhubung strategi kepimpinan dan komunikasi yang berjaya di era digital yang mencabar hari ini.

"Reputasi dan kepercayaan adalah isu yang sangat mencabar di dunia digital hari ini yang mana maklumat yang berlebihan dan berita palsu adalah kejadian harian.

“Tema kami tahun ini benar-benar merangkumi cabaran dan dinamik pasaran yang kami hadapi hari ini," kata Presiden PRCA Malaysia, Andy See Teong Leng, dalam satu kenyataan.

Acara satu hari itu disasar menarik kira-kira 250 perwakilan dan akan menampilkan barisan penceramah terkemuka dari Malaysia dan serantau.

Ia ditaja Isentia manakala The Malaysian Reserve adalah rakan media.

Sidang Kemuncak PR itu akan merangkumi tiga panel perbincangan dan tiga persembahan kes, yang mana pakar industri dan peneraju daripada syarikat utama Malaysia dan multinasional berkongsi strategi komunikasi dan kepimpinan masing-masing dalam membantu membina reputasi jenama dan korporat.

Antara penceramah ialah:

• Datuk A Kadir Jasin, Penasihat Khas, Media dan Komunikasi Perdana Menteri

• Datuk Wong Sai Wan, Ketua Pegawai Media Ancom Group of Companies merangkap Ketua Editor Malay Mail

• Datuk Sri Ibrahim Abdul Rahman, Presiden Institut Perhubungan Awam Malaysia (IPRM)

• Francis Ingham, Ketua Pengarah PRCA UK merangkap Ketua Eksekutif International Communications Consultancy Organisation (ICCO)

• Sutapa Bhattacharya, Pengurus Besar (Komunikasi Strategik dan Penjenamaan), Tenaga Nasional Bhd

• Jahabar Sadiq, Ketua Pengarang, The Malaysian Insight

Berita Harian X