Isnin, 1 Julai 2019 | 2:52pm
PERBADANAN Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC).

MTDC buka pusat pencetakan 3D untuk PKS

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) akan membuka pusat pencetakan tiga dimensi (3D) di Universiti Putra Malaysia (UPM) tahun ini bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mahu mencipta model 3D produk.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Norhalim Yunus berkata pusat itu, sebahagian daripada hab Industri 4.0 Centre of 9 Pillar (CO9P) MTDC, akan menjadi kemudahan komersial bagi PKS untuk membangunkan lagi dan menyokong ekosistem teknologi.

“Kami kini bekerjasama dengan dua syarikat tempatan untuk membangunkan pusat pencetakan 3D itu.

“Inisiatif ini adalah sejajar dengan Pelan Tindakan Industri 4.0 atau Industry4WRD yang dilancarkan pada Oktober lalu untuk memacu transformasi digital dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan berkaitan di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucapan pada majlis jelajah Road2Growth 2019, di sini, hari ini.

Berkenaan dengan komitmen MTDC untuk mengembangkan usahawan tempatan agar bersiap sedia dengan Industri 4.0, Norhalim berkata kerjasama berterusan dengan universiti tempatan dan pemain industri adalah penting kerana ia bertujuan untuk membantu usahawan tempatan mengguna pakai teknologi yang dibangunkan menerusi penyelidikan dan pembangunan (R&D) oleh institusi tempatan.

“Kita juga mempunyai banyak syarikat teknologi tempatan yang mengeksport produk dan perkhidmatan mereka.

“Oleh itu, kami mahu terus mendedahkan syarikat teknologi ini dan universiti, bagi menunjukkan sokongan kami kepada teknologi tempatan yang sama baiknya dan agar PKS tidak lagi mencari penyedia teknologi asing bagi menyelesaikan masalah mereka,” katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X