Isnin, 1 Julai 2019 | 3:58pm

Malaysia perlu pelbagaikan sumber pendapatan - Bank Dunia

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu mempelbagaikan sumber pendapatan termasuk menyusun semula insentif cukai,  mengembangkan cukai pendapatan individu dan memperluaskan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Bank Dunia berkata, Malaysia perlu meningkatkan ruang dasar dan kebolehan mengubah dasar bagi menghadapi persekitaran pertumbuhan tidak menentu yang diberatkan dengan risiko penurunan drastik.

“Dalam jangka pendek, fokus dasar kerajaan seharusnya membina semula penampan fiskal, menyokong pelaburan swasta dan memastikan perlindungan sosial mencukupi bagi isi rumah berpendapatan rendah,” katanya dalam laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia (MEM) ke-20 - Memperkasakan Perkhidmatan Awam, di sini, hari ini.

Bank Dunia berkata, asas pendapatan kerajaan boleh diperluaskan menerusi usaha mengembangkan dan memperbaiki sistem perlindungan sosial bagi mencapai kemajuan lebih baik secara keseluruhan.

“Perancangan kerajaan untuk memperkenalkan rangka kerja subsidi bahan api bersasar boleh menjadi penjimatan berpotensi yang utama bagi pelaburan semula dalam program kebajikan sosial.

“Selain itu, seluruh dunia sudah menunjukkan cukai yang progresif dan pemindahan sosial boleh menjadi satu langkah efektif bagi mengurangkan kadar pendapatan yang tidak sekata.

“Berbanding negara lain di rantau ini, Malaysia masih ketinggalan dalam sistem keselamatan sosial,” katanya.

Bagi mempercepatkan pertumbuhan produktiviti, Bank Dunia berkata, Malaysia juga seharusnya berusaha meningkat keyakinan pelabur; meningkatkan persaingan dan menangani pertumbuhan pasaran yang terbantut.

“Ini adalah peluang terbaik terutama bagi syarikat berkaitan kerajaan meneruskan peranan mereka meningkatkan daya saing seterusnya merangsang produktiviti sektor swasta untuk beroperasi di bawah paras optimal,” katanya.

Menerusi laporan itu, Bank Dunia juga berkata, pengenalan cukai minuman bergula dan levi pelepasan pelancongan pada tahun ini turut membantu menambah pendapatan negara.

Berita Harian X