Rabu, 3 Julai 2019 | 8:31pm
Tim Leissner. - Foto AFP

Pengharaman seumur hidup bekas pegawai bank Goldman berkaitan 1MDB di Hong Kong

HONG KONG: Pengawal Selia Hong Kong mengharamkan bekas pegawai bank Goldman Sachs, Tim Leissner, daripada beroperasi semula dalam industri negara itu untuk seumur hidup selepas dikaitkan dengan jenayah skandal berbilion dolar membabitkan syarikat pelaburan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) .

Kes 1MDB kini menjejaskan kredibiliti Goldman, apabila Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) menjalankan siasatan ke atas bank itu berdasarkan tanggung jawabnya sebagai penaja jamin dan pengurus bon 1MDB bernilai AS$6.5 bilion.

Leissner bersama seorang lagi bekas pegawai bank Goldman iaitu Roger Ng dan ahli perniagaan Malaysia, Low Taek Jho kini didakwa di AS atas tindakan mereka berkaitan 1MDB.

Leissner mengaku bersalah pada Ogos lalu.

Suruhanjaya Sekuriti dan Dagangan Hadapan Hong Kong (SFC) berkata, keputusan itu atas pertimbangan ke atas kelakuan Leissner yang menunjukkan "ketidakjujuran dan ketirisan integriti yang serius", menimbulkan keraguan kepada tahap kemampuan serta kesesuaiannya sebagai pengurus dana berlesen.

Jurucakap Goldman Sachs berkata, Leissner sengaja menyembunyikan aktiviti tertentu daripada pihak bank dan berulang kali melanggar dasar dan prosedur yang ditetapkan.

"Kami akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkuasa untuk memantau perkara terbabit," katanya. - Reuters

Berita Harian X