Isnin, 8 Julai 2019 | 11:27am
- Gambar hiasan

Syor wujud pembeli tunggal kawal selia pengedaran tenaga

KUALA LUMPUR: Satu agensi yang dikenali sebagai pembeli tunggal atau ‘single buyer’ perlu diwujudkan bagi mengawal selia pengedaran bekalan tenaga di grid nasional susulan cadangan pelaksanaan liberalisasi sektor tenaga oleh kerajaan.

Ia antara idea awal dibentangkan kepada Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) untuk diperhalusi dan diperbincangkan dalam kajian pelaksanaan liberalisasi tenaga pada masa depan.

Sumber rapat dasar itu berkata, liberalisasi sektor tenaga memerlukan kerajaan mengkaji kemungkinan membuka monopoli bahagian penjanaan tenaga dan peruncitan tenaga supaya Tenaga Nasional Bhd (TNB) bersaing secara sihat dengan peserta industri baharu menjual elektrik pada harga berdaya saing.

Bagaimanapun, katanya kerajaan perlu mempertimbangkan untuk meletak hanya satu entiti mengawal selia bahagian pengedaran tenaga kerana platform terbabit memerlukan jaminan perkhidmatan berkualiti tinggi dan tahap keselamatan optimum supaya tidak berlaku gangguan kepada perbekalan tenaga negara.

Sebelum ini, beliau berkata kerajaan dilaporkan mempertimbangkan skim ‘peer-to-peer’ (P2P) untuk liberalisasi tenaga, maka untuk P2P ini dapat dilaksanakan Malaysia tidak boleh ada monopoli seperti berlaku kini dalam pengedaran tenaga dan peruncitan atau penjualan tenaga kepada pengguna.

“Maka, mungkin wujud peserta baharu atau penjana tenaga boleh diperbaharui (RE) yang menyalurkan tenaga dijananya ke grid nasional yang mana mereka perlu mematuhi penyelarasan grid ditetapkan pengawal selia, dan mungkin akan wujud peruncit yang boleh membeli tenaga secara borong daripada grid untuk dijual kepada orang ramai.

“Pembeli tunggal ini mungkin boleh jadi satu entiti baharu atau bahagian pengedar TNB sedia ada yang dipecahkan daripada organisasi itu dan dipertanggungjawab mengawal selia grid berdasarkan pengalaman mereka kini.

“Semua ini masih pada peringkat idea awal, yang perlu diperhalusi dan dikembangkan menerusi rundingan lanjut antara pelbagai agensi berkaitan terutama Suruhanjaya Tenaga, kementerian dan TNB,” katanya kepada BH, baru-baru ini.

Berdasarkan amalan negara maju, P2P membolehkan orang awam terbabit dalam aktiviti ekonomi dengan menjana tenaga dan menyimpan atau memilih untuk menjual kembali lebihan tenaga yang dijananya kepada jiran setempat menerusi transaksi P2P, dipermudahkan menerusi teknologi terkini seperti blockchain, grid pintar dan meter pintar.

Mengulas lanjut, sumber berkata, antara manfaat yang berpotensi diraih rakyat menerusi liberalisasi itu adalah akses untuk membeli tenaga daripada mana-mana pembekal selain TNB termasuk penjana RE pada harga lebih berdaya saing berbanding tarif sedia ada.

Katanya, liberalisasi pada bahagian peruncitan tenaga akan menggalakkan persaingan sihat untuk menawarkan harga yang lebih rendah atau sama dengan tarif sedia ada kerana peruncit dijangka hanya terikat dengan syarat tidak dibenarkan menjual tenaga pada harga lebih tinggi daripada ditetapkan atau dijual TNB.

“Potensi liberalisasi industri tenaga sangat besar kerana ia menjana tenaga tambahan kepada bekalan tenaga negara dan kita juga menyaksikan lebih banyak penjanaan RE kerana rakyat boleh beralih membeli tenaga RE dan hanya membeli daripada TNB apabila tidak cukup.

“Kita juga akan menyaksikan kemunculan lebih banyak ‘Registered Solar PV Investor’ (RPVI) di negara ini selain pelabur tenaga RE lain seperti mini hidro untuk menjana tenaga boleh diperbaharui dan mesra alam yang menjualnya terus kepada pengguna.

“Negara juga boleh meneroka pelbagai potensi lain dalam industri pembekalan tenaga dengan memanfaatkan sepenuhnya meter pintar untuk internet kebendaan (IoT) atau meninjau potensi tarif elektrik dinamik seperti negara maju,” katanya.

Ketika ini, RPVI merujuk kepada mana-mana pelabur yang menyediakan Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) atau perkhidmatan penyewaan solar untuk pelanggan Skim Meter Tenaga Bersih (NEM).

Berita Harian X