Isnin, 8 Julai 2019 | 2:34pm
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menjawab soalan media selepas menyampaikan ucapan perasmian persidangan anjuran Women in Rail Malaysia di JW Marriott. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Kerajaan lancar semula ECRL 25 Julai

KUALA LUMPUR: Industri rel Malaysia kini bersedia bergerak pada gear tinggi apabila kerajaan menetapkan tarikh pelancaran semula Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pada 25 Julai ini.

Dalam pada itu, pelaksanaan projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor–Singapura pula dijangka dapat dimuktamadkan sebelum 30 September ini.

Pengumuman yang dibuat Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, pada ucapan perasmian Persidangan Kepimpinan Wanita dalam Rel Malaysia 2019 itu menjadi petunjuk utama terhadap prospek hubungan negara dengan China dan Singapura yang menjadi kebimbangan industri rel sebelum ini.

Loke berkata, pelancaran semula projek mega itu dengan kos pembinaan sebanyak RM44 bilion bakal mewujudkan fungsi dan skop yang lebih besar untuk syarikat tempatan memainkan peranan secara aktif dalam projek nasional terbabit.

Katanya, ia kerana kontraktor tempatan akan diberikan peluang untuk membida sebanyak 40 peratus daripada projek rel mega itu khususnya membabitkan kerja awam seperti pembinaan stesen dan depo.

“Kerajaan menetapkan tarikh untuk melancarkan semula projek rel ini pada 25 Julai iaitu pada bulan ini dan mengesahkan 40 peratus daripada projek ECRL tersedia bagi penyertaan kontraktor tempatan.

“Saya juga menjemput peserta industri berkaitan untuk melaksanakan pembangunan berorientasikan pengangkutan transit (TOD) di sepanjang jajaran ECRL bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi sekitarnya,” katanya selepas merasmikan persidangan anjuran Women in Rail Malaysia di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor–Singapura pula, kerajaan yakin dapat memuktamadkan sebarang keputusan berkaitan projek itu sebelum 30 September ini

Katanya, kerajaan sentiasa meninjau cara menyelesaikan masalah kesesakan di lokasi sibuk antara kedua-dua negara selain mengadakan perbincangan bersama Singapura untuk meneroka kaedah berbeza bagi projek itu.

“Jadi, kami berharap dapat umumkan berita gembira kepada rakyat berkenaan RTS sebelum penghujung September ini,” katanya.

Projek RTS itu antara isu yang dibangkitkan rundingan kedua-dua negara selepas Malaysia memohon Singapura memberikan lanjutan tempoh hingga September ini untuk kerajaan mempertimbangkan semula sebelum membuat sebarang keputusan berhubung projek RTS.

Projek RTS adalah sistem rel sepanjang 4 kilometer yang menghubungkan Bukit Chagar, Johor ke stesen Woodlands North, Singapura dengan sasaran kapasiti mencecah 10,000 penumpang sejam.

Namun sekiranya projek itu dibatalkan, Malaysia perlu membayar pampasan berjumlah RM200 juta kepada Singapura.

Berita Harian X