Isnin, 8 Julai 2019 | 7:24pm
RAFIDAH menyampaikan ucapan perasmian penutup persidangan 'Women In Rail (WIR) 2019'. - Foto Aswadi Alias

'Ambil kira implikasi ke atas Malaysia Airlines'

KUALA LUMPUR: Keputusan mengenai hala tuju Malaysia Airlines Bhd perlu dibuat secara berhati-hati kerana akan memberi banyak implikasi kepada syarikat penerbangan itu, kata bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz.

Berkongsi pandangan itu, beliau berkata, keputusan terhadap Malaysia Airlines bukan seperti membuat keputusan untuk mengambilalih sebuah kedai.

"Ini adalah syarikat penerbangan, sebuah syarikat legasi, banyak implikasinya. Macam orang nak berkahwin, itu pun kena buat kajian ketekunan wajar (due diligence), takut-takut nanti orangnya sudah beristeri.

"Perkara membabitkan Malaysia Airlines, kalau kita hendak keluar kenyataan, nanti jadi seperti 'too many cooks spoilt the broth' (terlalu ramai masuk campur). Jadi biarlah pemiliknya Khazanah Nasional Bhd dan kerajaan fikirkan apa yang terbaik dan buatlah keputusan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama penutup persidangan 'Women In Rail (WIR) 2019' di sini, hari ini.

Rafidah ditanya mengenai hala tuju Malaysia Airlines dan kritikan pihak tertentu yang mempertikaikan kerajaan kerana mengambil masa agak lama untuk menentukan keputusan mengenai syarikat penerbangan nasional itu.

Ditanya mengenai cadangan penggabungan di antara AirAsia dan Malaysia Airlines oleh Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin, Rafidah yang juga adalah Pengerusi AirAsia X Bhd bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

"Tidak, tidak saya tidak mahu memberi komen mengenai isu ini. Seperti anda tahu, AirAsia adalah syarikat senaraian awam, (maka) tidak wajar untuk saya dari segi tadbir urus mengumumkan atau komen apa-apa mengenainya kerana ia mempunyai kaitan dengan perniagaan (AirAsia)," katanya.

A Kadir sebelum ini berkata AirAsia Group Bhd dilihat sebagai pengendali penerbangan berjaya yang mampu menyelamatkan Malaysia Airlines daripada 'berkubur.' 

Menurutnya, AirAsia juga telah memiliki satu elemen menyamai Malaysia Airline iaitu cabang penerbangan jarak jauh, AirAsia X.

"Mereka ada pengalaman itu kerana memiliki AirAsia X yang melakukan penerbangan jauh sehingga ke Jeddah serta destinasi lain seperti Jepun, Korea Selatan dan China," katanya.

Berita Harian X