X
Selasa, 9 Julai 2019 | 3:26pm
Kadar pengeluaran minyak sawit yang tinggi di Indonesia menjadi antara punca harga minyak sawit mentah (MSM) masih rendah. - Foto hiasan
Kadar pengeluaran minyak sawit yang tinggi di Indonesia menjadi antara punca harga minyak sawit mentah (MSM) masih rendah. - Foto hiasan

Pengeluaran Indonesia tinggi punca harga sawit rendah

BANGI: Kadar pengeluaran minyak sawit yang tinggi di Indonesia menjadi antara punca harga minyak sawit mentah (MSM) masih rendah biarpun stok minyak sawit Malaysia menyusut pada bulan Mei lalu.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan dan Penyelidikan) Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir, berkata selain itu faktor perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China turut menyumbang kepada kejatuhan harga komoditi berkenaan.

Katanya, banyak sawit baharu yang ditanam di Indonesia sejak beberapa tahun lalu kini sudah mula berbuah, sekali gus menyumbang kepada peningkatan bekalan stok sedia ada.

"Walaupun tahun lalu Indonesia melaporkan jumlah pengeluaran sawit 40 juta tan, namun kami fikir jumlah sebenar adalah lebih tinggi.

"Ini kerana, mereka tidak mempunyai sistem seperti di Malaysia yang mempunyai laporan mingguan dan bulanan mengenai pengeluaran yang membolehkan kita tahu dengan tepat jumlah pengeluaran sebenar.

"Selain itu, isu berkaitan kacang soya yang harganya ketika ini agak rendah disebabkan oleh perang dagang AS-China, secara tidak langsung turut menjejaskan harga minyak sawit," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian seminar dan perasmian pemindahan teknologi (TOT) di ibu pejabat MPOB di sini, hari ini.

Perasmian disempurnakan oleh Menteri Industri Utama, Teresa Kok.

Hadir sama ialah Pengerusi MPOB, Tan Sri Mohd Bakke Salleh.

MPOB pada bulan lalu melaporkan stok minyak sawit Malaysia merosot 10.3 peratus kepada 2.45 juta tan metrik pada Mei, terendah dalam tempoh 10 bulan, daripada 2.73 juta tan metrik yang direkodkan pada bulan sebelumnya.

Stok MSM pula menyusut 8.2 peratus kepada 1.46 juta tan metrik daripada 1.59 juta tan metrik pada April.

Mengulas lanjut, Parveez berkata MPOB semangnya menjangkakan harga MSM untuk kembali naik selepas stok minyak sawit telah menyusut beberapa bulan ini, namun perkara sebaliknya yang berlaku.

"Kami kini sedang meneroka pilihan-pilihan yang ada dan berusaha untuk memastikan harga komoditi ini tidak terus jatuh. Itu yang paling penting," katanya.

Sementara itu Kok berkata, kementerian optimis mampu mencapai sasaran 100 peratus Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) di seluruh negara menjelang akhir tahun ini biarpun setakat 31 Mei lalu baru mencapai 36 peratus.

"Kita masih ada lima bulan lagi dan akan terus berusaha mendesak mereka yang terbabit supaya segera mendapatkan pensijilan MSPO.

"Jika pihak terbabit seperti pekebun kecil tidak mendapatkan pensijilan ini, mereka akan berdepan kerugian kerana bermula 1 Januari depan, hanya produk yang mempunyai MSPO sahaja yang boleh dieksport," katanya.

Seminar TOT yang kini masuk tahun ke-25 penganjurannya menjadi medan penting dalam mempromosikan pengkomersialan teknologi dan inovasi terbaru berkaitan industri minyak sawit.

Sehingga tahun 2018, MPOB telah mempatenkan 357 teknologi dan melancarkan 651 teknologi dan 174 perkhidmatan yang boleh digunapakai untuk pengkomersilan industri minyak sawit.

Usaha itu yang termasuk penganjuran seminar TOT telah meningkatkan kadar pemgkomersilan sebanyak 30 peratus.

Berita Harian X