Selasa, 9 Julai 2019 | 6:22pm
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof (tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Negara AXA, Emmanuel Nivet (dua dari kiri) bergambar selepas Majlis perasmian ‘AXA TakeControl SME Challenge 2019’ di SME Corporation Malaysia, Platinum Sentral, Jalan Stesen Sentral 2, KL Sentral. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Lebih 50 peratus PKS tiada perlindungan insurans

KUALA LUMPUR: AXA Affin General Insurance Bhd (AXA) menggesa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia supaya memiliki perlindungan insurans bagi memperkasakan perniagaan untuk kepentingan masa depan.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Negara AXA, Emmanuel Nivet, berkata lebih 50 peratus PKS di negara ini tidak memiliki perlindungan insurans dan berisiko kerugian kewangan termasuk kehilangan perniagaan.

“Masih ramai dalam kalangan PKS tidak memiliki insurans berikutan berdepan pelbagai cabaran termasuk aliran tunai dan tidak mempunyai pendedahan sepenuhnya mengenai kepentingan itu.

“Perlindungan insurans adalah penting bagi memastikan kemantapan operasi perniagaan PKS, terutama dalam menghadapi risiko perniagaan yang semakin meningkat,” katanya selepas majlis pelancaran AXA #TakeControl SME Challenge 2019, di sini, hari ini.

Pelancaran disempurnakan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia, Noor Azmi Mat Said.

Nivet berkata, disebabkan sumber yang terhad, ramai usahawan menganggap insurans bukan satu keperluan dan cenderung untuk tidak memberi keutamaan kepada perlindungan sehingga mendedahkan perniagaan terhadap risiko kerugian kewangan seperti kebakaran, banjir atau kecurian.

“Sebagai sebuah syarikat insurans dengan visi untuk menjadi rakan pelanggan, kami komited untuk membantu mereka dalam mengurangkan risiko melalui penyediaan penyelesaian perlindungan perniagaan yang menyeluruh dan berpatutan,” katanya.

AXA #TakeControl SME Challenge 2019 dilancarkan di seluruh negara bagi memilih tiga PKS paling bercita-cita tinggi dengan kemahiran, pembiayaan dan pengetahuan untuk melonjakkan perniagaan serta mengembangkan rangkaian mereka.

Cabaran itu mengalu-alukan penyertaan PKS Malaysia untuk mengemukakan idea perniagaan melalui www.axasme.com dan 10 PKS terbaik akan disenarai pendek bagi menjalani latihan perniagaan berstruktur.

Tiga peserta dengan idea terbaik bakal memenangi pelbagai hadiah termasuk wang tunai RM20,000; perlindungan AXA Business Advantage Plus (Enhanced) setahun bernilai RM3,000; liputan media di Malaysia SME bernilai RM59,000 dan tiga bulan latihan peribadi oleh iCommunity bernilai RM13,500.

Berita Harian X