X
Khamis, 11 Julai 2019 | 3:58pm

Harga minyak sawit hampiri paras terendah

KUALA LUMPUR: Harga minyak sawit di negara ini kira-kira AS$15 (RM61.85) lagi untuk menghampiri paras terendah yang dicatatkan lebih sedekad lalu semasa krisis kewangan global, berikutan faktor bekalan yang tinggi dan permintaan yang lemah.

Dengan adanya kemungkinan hasil di Indonesia dan Malaysia akan kembali meningkat pada bulan-bulan akan datang kerana musim pengeluaran tinggi sudah bermula, peniaga masih mengambil langkah berhati-hati untuk menghentikan kemerosotan harga.

Broker yang berpangkalan di Mumbai, Sunvin Group menjangkakan harga boleh mencecah bawah RM1,867 (AS$453) satu tan metrik kepada paras terendah sejak 2009.

Niaga hadapan penanda aras di Kuala Lumpur didagangkan pada RM1,930 pada Khamis.

Pengurus Jualan Institusi di PhillipFutures Sdn Bhd, Marcello Cultrera berkata kebimbangan yang berlaku pada masa ini adalah harga sawit berada dalam kemerosotan mendadak.

“Ini kerana pengeluaran dijangka meningkat dari Julai hingga Oktober, namun ketiadaan sebarang permintaan sebenar sehingga Ogos.

“Semua orang sedang menunggu harga untuk stabil. Saya rasa kita semakin hampir,” katanya.

Kontrak hadapan minyak sawit yang paling aktif susut buat hari keempat selepas Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mengeluarkan laporan inventori pada Jun yang menunjukkan penurunan lebih kecil daripada jangkaan.

Harga sawit susut sembilan peratus tahun ini, menambah kepada penurunan dua angka pada 2018 dan 2017.

Beberapa pelabur menjangkakan bekalan di Malaysia meningkat kepada 2.5 juta pada Julai melainkan permintaan kembali pulih, kata Cultrera.

Malaysia dan Indonesia membekalkan 80 peratus bekalan minyak sawit global.

Ketua Penyelidikan Sunvin, Anilkumar Bagani, berkata harga minyak mentah dan pengeluaran kacang soya Amerika Syarikat (AS) adalah antara faktor risiko yang diberi tumpuan oleh pasaran minyak sawit.

“Dalam fasa pertama pada separuh kedua tahun ini, kami akan terus melihat dagangan harga minyak sawit dalam wilayah rendah iaitu antara RM1,850 dan RM2,115 setan.

“Harga mungkin pulih kepada RM2,100 hingga RM2,350 dalam suku keempat,” katanya.

Bagaimanapun, harga yang rendah mungkin menarik minat pembeli di pasaran utama iaitu India dan China.

Cultrera berkata, paras ini menarik bagi pembeli kerana nilai relatifnya dengan minyak yang boleh dimakan.

Premium minyak kacang soya berbanding minyak sawit adalah AS$161 setan pada Khamis berbanding purata AS$113 pada tahun sebelum ini, menurut data yang dikumpul Bloomberg.

Jurang dengan minyak gas juga meluas disebabkan oleh lonjakan dalam harga tenaga. Jurang itu adalah sekitar AS$140 setan berbanding purata AS$104 pada tahun sebelum ini.

-Bloomberg

Berita Harian X