Jumaat, 12 Julai 2019 | 3:38pm
Pertumbuhan ekonomi Singapura yang bergantung kepada eksport jatuh mendadak pada suku kedua.

Pertumbuhan ekonomi Singapura jatuh luar jangkaan

SINGAPURA: Pertumbuhan ekonomi Singapura yang bergantung kepada eksport jatuh mendadak pada suku kedua, sekali gus memberikan amaran bahawa perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China sedang menjejaskan ekonomi global.

Data rasmi negara itu menunjukkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menguncup 3.4 peratus tahun ke tahun, penurunan ketara daripada pertumbuhan 3.8 peratus pada suku pertama dan tersasar dari jangkaan awal.

Berdasarkan perbandingan tahun ke tahun, ia berkembang hanya 0.1 peratus, kata Kementerian Perdagangan Singapura, menandakan kadar paling perlahan sejak krisis kewangan global pada 2009 selain berada di bawah unjuran.

Dengan kebergantungan terhadap perdagangan asing, Singapura sering dilihat sebagai negara yang mempunyai ekonomi positif global.

Perangkaan mengejutkan itu menunjukkan petunjuk baharu ketegangan perdagangan antara Washington dan Beijing, memberi kesan besar terhadap ekonomi yang bergantung kepada eksport di seluruh dunia.

“Perang perdagangan AS-China yang sedang berlaku, memberi kesan negatif terhadap sektor pembuatan dan eksport utama Singapura,” kata Penganalisis Vanguard Markets, Stephen Innes.

Sementara itu, pakar ekonomi di Maybank Kim Eng Research Singapura, Chua Hak Bin pula berkata Singapura dianggap sebuag lombong arang batu terbuka, yang sangat menerima kesan serta sensitif terhadap perdagangan.

“Data menunjukkan risiko kelembapan mendalam untuk seluruh Asia,” katanya.

Sektor utama iaitu pembuatan mengalami kesan ketara, susut 3.8 peratus tahun ke tahun, berbanding penurunan 0.4 peratus pada suku sebelumnya.

Data itu juga menunjukkan kebimbangan mengenai kelembapan dalam sektor eksport, seperti eksport domestik bukan minyak jatuh ke tahap paling buruk sejak Februari 2013 pada Mei, didorong oleh penurunan ketara dalam sektor elektronik.

Penganalisis kini menjangkakan Singapura bakal terjerumus dalam kemelesetan teknikal, iaitu penguncupan ekonomi dua suku tahunan berturut-turut pada 2020.

Terdapat juga kemungkinan besar bank pusatnya akan mengurangkan dasar monetari dalam usaha untuk menyokong ekonomi, kata ahli ekonomi.

Sepanjang tahun lalu, China dan AS telah menaikkan tarif ke atas eksport masing-masing dalam perang perdagangan yang semakin meningkat dalam ekonomi dan pasaran global.

Terdapat petunjuk kesan negatif yang semakin meningkat di seluruh Asia seperti aktiviti perkilangan di rantau ini semakin perlahan, manakala data yang dikeluarkan pada Jumaat dijangka menunjukkan ekonomi China berkembang pada kadar perlahan dalam hampir tiga dekad pada suku kedua.

-AFP

Berita Harian X