Ahad, 14 Julai 2019 | 7:55pm
Pengurus Pemasaran Global Drone Fund, Tavis Sartin.

Syarikat Malaysia dipelawa mohon dana dron AS$100 juta

KUALA LUMPUR: Drone Fund, dana pelaburan dron dan mobiliti udara dunia akan melancarkan dana berjumlah AS$100 juta (RM418.4 juta) akhir tahun depan, sekali gus membuka peluang kepada syarikat di seluruh dunia termasuk Malaysia mengembangkan perniagaan dalam segmen baharu itu.

Pengurus Pemasaran Global Drone Fund, Tavis Sartin, berkata dana pusingan ketiga (Drone Fund III) yang lebih besar berbanding AS$16 juta (RM66.9 juta) dan AS$52 juta (RM217.6 juta) bagi Drone Fund I dan II bagi memberi peluang syarikat berdaya maju untuk meraih modal.

“Kami baru saja menutup Drone Fund II di mana, kami berjaya meraih AS$52 juta daripada 25 syarikat dan 13 pelabur individu untuk disalurkan kepada syarikat yang layak.

“Untuk Drone Fund II, setakat ini, kami sudah melabur dalam tujuh syarikat dan meninjau lebih banyak syarikat lagi.

“Buat masa ini, hanya satu syarikat daripada Malaysia menerima dana kami iaitu Aerodyne Group dan kita terbuka untuk syarikat baharu dari negara ini dan di seluruh dunia,” katanya kepada BH dalam maklum balas menerusi emel.

Aerodyne Group adalah penyedia penyelesaian dron dipacu teknologi kecerdasan buatan (AI) dari Malaysia. Drone Fund I berjaya meraih AS$16 juta dan dilaburkan dalam 22 syarikat pemula niaga berbeza di seluruh dunia.

Sartin berkata, terdapat hanya satu saja kriteria untuk memohon dana berkenaan iaitu syarikat yang berminat perlu beroperasi dalam ‘ruang dron’ atau skop lebih besar merangkumi perkakasan, perisian, teknologi udara tanah dan laut.

“Tiada diskriminasi. Kita melabur dalam syarikat di seluruh rantaian dron.

“Pelaburan kami pelbagai dan bergantung kepada syarikat dengan jumlah pelaburan dari AS$100,000 sebagai asas dan pusingan awal syarikat pemula niaga kepada AS$3 juta hingga AS$4 juta bagi peringkat seterusnya.

“Syarikat yang berminat termasuk dari Malaysia boleh menghubungi menerusi emel [email protected],” katanya.

Beliau berkata, sebagai pelabur teroka, penyedia dana itu tidak hanya menyalurkan modal, malah turut menawarkan operasi sokongan dan pentadbiran termasuk latihan pengurusan perancangan korporat, sokongan perkongsian jualan serta strategi.

“Selain itu, kami membantu rakan kongsi dan pelabur kami dalam meninjau peluang kerjasama antara satu sama lain untuk membantu membina ekosistem yang kukuh dan teguh,” katanya.

Berita Harian X