Isnin, 15 Julai 2019 | 2:52pm

Bon, sukuk boleh jadi portfolio pelaburan runcit

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yakin bon dan instrumen sukuk mempunyai kedudukan yang baik untuk menjadi sebahagian daripada portfolio pelaburan runcit pelbagai, walaupun secara tradisinya dianggap sebagai pasaran borong.

Pengerusinya, Datuk Syed Zaid Albar, berkata sejak pengenalan akses langsung kepada instrumen pendapatan tetap pada 2012, pelaburan runcit kekal rendah memandangkan penerbit terus memilih mengeluarkan kertas mereka di pasaran borong dan dalam denominasi yang lebih besar.

Beliau berkata, penerbit juga jelas didorong oleh ketersediaan permintaan institusi dalam pasaran utama selain pertimbangan kos untuk mengurangkan bon ke dalam denominasi yang lebih kecil yang lebih sesuai untuk pelabur runcit.

"Untuk itu, kami percaya pelaburan dalam teknologi dapat membantu menyediakan penyelesaian yang berpotensi," katanya dalam ucapan khas pada persidangan bon anjuran RAM Holdings Bhd dan Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti di sini, hari ini.

Syed Zaid berkata, penggunaan teknologi kewangan dalam pasaran bon dan sukuk telah melangkaui pengedaran.

Di sesetengah negara, teknologi lejar sudah digunakan, katanya memetik pelancaran bon ‘blockchain’ (lejar digital terbuka) oleh Bank Dunia dan Commonwealth Bank of Australia pada Ogos 2018.

Dari perspektif belian, kemajuan dalam Kecerdasan Buatan dan analitis juga telah mendorong proses dalam membuat keputusan perdagangan yang lebih baik serta kecekapan dari segi harga, dengan kos menjalankan urus niaga semakin menurun, katanya.

Beliau berkata, aktiviti pembiayaan dalam pasaran korporat dan sukuk di Malaysia kekal berdaya tahan, dengan RM78.4 bilion dikumpul dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, menjadikan jumlahnya sebanyak RM1.49 trilion pada akhir Jun ini.

Sementara itu, Pengerusi RAM Holdings, Tan Sri Amirsham Abdul Aziz berkata pasaran bon dan sukuk Malaysia terus menunjukkan kedudukannya yang penting dan menjadi tonggak utama dalam pasaran modal, membiayai ekonomi sebenar serta keperluan infrastruktur negara.

Sepanjang 18 tahun, pasaran berkembang daripada RM264 bilion pada 2000 kepada RM1.4 trilion pada akhir Disember 2018.

Pasaran bon kekal sihat setakat ini tahun ini, walaupun berlaku turun naik dalam pasaran yang lebih luas, dengan aktiviti terbitan korporat kasar dijangkakan mencapai antara RM90 bilion dan RM100 bilion menjelang akhir tahun ini, tidak terlalu jauh daripada RM105.4 bilion yang dicapai tahun lalu.

-BERNAMA

Berita Harian X