Isnin, 15 Julai 2019 | 3:09pm
Peneraju perisian enterpris global, SAP.

Masa depan ekonomi digital negara cerah

KUALA LUMPUR: Peneraju perisian enterpris global, SAP, optimis dengan pertumbuhan masa depan ekonomi digital Malaysia.

Presiden dan Pengarah Urusannya (Asia Tenggara), Claus Andresen, berkata tumpuan syarikat itu dalam sektor digital merangkumi bahagian seperti mendidik tenaga kerja, meningkatkan ekosistem tempatan dan menubuhkan pusat servis di Kuala Lumpur bagi rantau Asia Tenggara.

“SAP menyasar menyokong setiap syarikat untuk menjadi perniagaan terbaik. SAP telah berada di Malaysia selama 27 tahun dan ekonomi digital negara ini semakin berkembang pesat,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), ekonomi digital negara menyumbang kira-kira 18.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDN) pada 2017.

Mengenai tenaga kerja dan pendidikan, Andresen berkata SAP akan terus membangunkan modal insan bagi Malaysia.

“Di bawah inisiatif SAP University Alliances, SAP terus bekerjasama dengan MDEC dalam program MyUniAlliance yang menyediakan latihan bagi kira-kira 3,000 pelajar setahun,” katanya sambil menambah program itu bermula pada 2011.

Ia kini disertai 18 institusi pengajian tinggi termasuk dua universiti asing.

“Tenaga kerja di Malaysia adalah muda, berpendidikan dan produktif, terbukti menjadi antara yang terbaik di rantau ini. Kepelbagaian adalah satu daripada kekuatan paling utama Malaysia, dan objektif kami adalah untuk menyediakan kepada pelanggan SAP akses kepada rangkaian perunding terbaik global dengan kepakaran dalam teknologi terkini SAP,” katanya.

Hari ini, SAP menyediakan khidmat kepada 437,000 pelanggan di lebih dari 180 negara di seluruh dunia, termasuk 92 peratus daripada syarikat Forbes Global 2000, 98 peratus daripada 100 jenama paling bernilai dan 100 peratus daripada syarikat dengan skor utama di Dow Jones.

-BERNAMA

Berita Harian X