Isnin, 15 Julai 2019 | 3:38pm
MENTERI Besar Selangor, Amirudin Shari. NSTP/Nurul Shafina Jemenon

SIBS 2019 sasar rundingan perniagaan RM250 juta

PETALING JAYA: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2019 yang akan berlangsung pada 10 hingga 13 Oktober depan dijangka menjana urus niaga rundingan perniagaan sehingga RM250 juta.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, berkata sasaran lebih tinggi berbanding RM194.6 juta yang dicapai tahun lalu disokong penyertaan lebih banyak pempamer selain jangkaan kehadiran 30,000 pengunjung tempatan dan rantau ini.

“Dijangkakan 850 tapak pameran akan memenuhi SIBS 2019, berbanding hanya 548 tapak pameran tahun lalu. Ia jumlah yang signifikan dan menjadikan sidang kemuncak ini terbesar di peringkat negeri.

“Kami yakin untuk mencapai sasaran RM250 juta bersandarkan kepada reputasi SIBS sebagai ekspo perdagangan terbesar dan kemampuan kami menarik pelaburan masuk ke Selangor,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran rasmi SIBS di sini, hari ini.

SIBS anjuran Invest Selangor dijangka berlangsung di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Amirudin berkata, Selangor juga adalah hab pelaburan di Malaysia menerusi pelbagai kelebihan yang ditawarkan termasuk jaringan perhubungan yang baik, hab 30 universiti di Kajang, Bangi dan Semenyih, di samping kawasan hijau untuk pelaburan dalam pertanian di Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Ulu Selangor.

Katanya, Selangor turut menetapkan lima asas pelaburan iaitu dalam bidang sains hayat; makanan dan minuman (F&B); jentera; elektrik dan elektrikal (E&E); dan pengangkutan untuk mencapai sasaran pelaburan masuk berjumlah RM10 bilion tahun ini.

“Bagi tempoh suku pertama tahun ini, Selangor berjaya menarik pelaburan bernilai RM1.5 bilion,” katanya.

Mengenai sasaran kemasukan pelaburan yang lebih rendah tahun ini, beliau berkata, unjuran konservatif iaitu RM10 bilion dibuat berdasarkan perkembangan ekonomi semasa termasuk perang dagang China dan Amerika Syarikat (AS) dan harga komoditi seperti minyak sawit yang rendah, selain turut mengambil kira persekitaran politik di negara ini.

“Kami akan cuba memanfaatkan perang dagang China-AS yang setakat ini dilihat belum ada kesudahannya,” katanya.

Tahun lalu, Selangor menarik pelaburan masuk berjumlah RM18.9 bilion.

Berita Harian X