Selasa, 16 Julai 2019 | 4:45pm
KETUA Setiausaha Kementerian Industri Utama, Datuk Dr Tan Yew Chong. - Foto Rosdan Wahid

'Teroka peluang manfaat sisa buangan, tanaman lain'

KUALA LUMPUR: Peserta industri perladangan negara boleh mencipta kekayaan daripada penjanaan sisa buangan dan melabur dalam tanaman komoditi pertanian lain yang berpotensi.

Ketua Setiausaha Kementerian Industri Utama, Datuk Dr Tan Yew Chong, berkata, ladang kelapa sawit seluas 5.9 juta hektar pada masa ini, memberikan potensi besar kepada industri untuk memanfaatkan biomas sawit bagi menghasilkan sumber kekayaan daripada aliran sisa buangan sedia ada.

“Meskipun sejumlah besar sisa kelapa sawit sudah digunakan bagi penghasilan baja bio, bio-kimia, bio-pelet dan produk eko, namun masih ada potensi lain yang harus diterokai. Begitu juga dengan potensi pelaburan lain yang boleh diusahakan menerusi tanaman komoditi pertanian.

“Dalam hal ini, peserta industri diharapkan mengambil peluang meneroka dan menceburkan diri dalam pertanian lain berpotensi seperti koko, buluh dan kenaf,” katanya membentangkan modul ‘Hala Tuju Dasar Baharu bagi Industri Perladangan Malaysia’ di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata industri utama Malaysia masih kekal berdaya tahan dan menyumbang secara positif serta signifikan kepada ekonomi negara, meskipun berdepan pertumbuhan yang suram.

Beliau berkata, walaupun industri utama dilihat mengalami kitaran trend penurunan sejak beberapa tahun, namun sektor berkenaan dijangka akan terus memberikan pertumbuhan jangka panjang yang mapan serta nilai tambah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Industri utama di Malaysia berdepan pelbagai cabaran sejak lima tahun lalu berikutan terkesan dengan perubahan ekonomi dan politik tempatan serta di peringkat global.

“Sebagai contoh, penurunan harga getah dan harga minyak sawit mentah yang menjejaskan pendapatan negara yang secara keseluruhannya memberi kesan negatif terhadap pendapatan penanam sawit dan pekebun kecil.

“Selain itu, sektor turut berdepan dengan pelbagai cabaran utama seperti penurunan produktiviti; permintaan untuk menghasilkan produk pertanian dan keselamatan makanan secara mapan, aktiviti nilai tambah yang rendah serta kekurangan teknologi dan automasi,” katanya

Beliau berkata, dalam usaha memastikan industri berkenaan kekal relevan dan berdaya saing, Kementerian Industri Utama (MPI) sebelum ini telah melancarkan lima strategi makro untuk mencapai sasaran yang ditetapkan iaitu mencapai RM146 bilion dalam nilai pendapatan eksport dan meningkatkan sumbangan minimum KDNK sekurang-kurangnya lapan peratus menjelang 2020.

“Lima strategi itu ialah memacu produktiviti; membina kepimpinan dengan menetapkan piawaian serta pengiktirafan bagi membuktikan ketulenan serta kualiti pengeluaran produk berasaskan komoditi pertanian.

“Turut difokuskan usaha mempergiatkan aktiviti meningkatkan tambah nilai, mengembangkan pasaran eksport dan pengukuhan modal insan,” katanya.

Berita Harian X