Jumaat, 19 Julai 2019 | 4:56pm
Dolar Amerika Syarikat. - Foto Reuters
Dolar Amerika Syarikat. - Foto Reuters

Malaysia terima manfaat penurunan kadar faedah AS

KUALA LUMPUR: Jangkaan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) menurunkan kadar faedah akan memanfaatkan pasaran ekuiti global, terutama ekonomi baharu muncul seperti Malaysia.

Keadaan itu akan mendorong aliran masuk asing ke dalam pasaran ekuiti Asia, berikutan jangkaan pertumbuhan pendapatan korporat yang tinggi.

Ketua Pelaburan, Produk dan Pengurusan Kekayaan Standard Chartered, Danny Chang, berkata jika penurunan kadar faedah itu tidak membawa kemelesetan di AS, ia adalah baik untuk keseluruhan ekuiti global.

“Ahli ekonomi global sudah mengambil kira 100 peratus kebarangkalian sekurang-kurangnya satu pengurangan kadar oleh Fed AS dan satu lagi 93 peratus kebarangkalian bagi pengurangan dua kali sebelum akhir 2019,” katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat mengenai Tinjauan Global bagi Separuh Kedua 2019, di sini, hari ini.

Pemerhati pasaran global menjangkakan pengurangan kadar faedah daripada julat sasaran semasa sebanyak 2.25 peratus hingga 2.5 peratus pada mesyuarat dasar Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada 30 hingga 31 Julai ini.

Chang berkata, pelabur asing juga meninjau sumber pendapatan alternatif dalam pasaran ekuiti tempatan, terutama saham dengan dividen tinggi.

“Pelabur berminat untuk melabur dalam sektor seperti saham utiliti, telekomunikasi, pengguna dan saham amanah pelaburan (REIT),” katanya.

Beliau berkata, Malaysia kurang terdedah kepada ketidaktentuan luaran dengan pegangan asing yang rendah dalam pasaran ekuiti.

“Nisbah harga pendapatan FBM KLCI adalah kira-kira 15 hingga 16 kali lebih tinggi berbanding pasaran lain di rantau ini, yang mana antara 10 dan 11 kali. Malaysia mempunyai purata beta rendah di bawah 1.0 peratus,” katanya sambil menambah bahawa pendapatan korporat di Malaysia dijangka berkembang di bawah 10 peratus tahun ini.

Pakar Strategi Pelaburan Kanan bagi Pengurusan Kekayaan Kumpulan Standard Chartered, Manish Jaradi, berkata ringgit dijangka didagangkan sekitar 4.15 berbanding dolar AS tahun ini.

“Prestasi pertumbuhan mantap ringgit disokong oleh lebihan akaun semasa yang lebih tinggi, pertumbuhan perlahan ekonomi China dan peningkatan berterusan perang perdagangan AS-China,” katanya.

Beliau berkata, dolar AS dijangka lemah dalam tempoh tiga hingga 12 bulan berikutan jangkaan penurunan kadar faedah oleh Fed AS.

“Kelemahan dolar AS harus menggalakkan aliran masuk ke dalam pasaran baharu muncul dan menyokong harga emas,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X