Sabtu, 20 Julai 2019 | 9:00am

Najah Air yakin kuasai pegangan Malaysia Airlines

KUALA LUMPUR: Najah Air Sdn Bhd menjangka bakal memperoleh saham majoriti dalam syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines Bhd hasil perbincangannya dengan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah).

Najah Air adalah syarikat tujuan khas (SPV) yang dianggotai pengasas bersama AirAsia Bhd, Datuk Pahamin Ab Rajab dalam usaha mengambil alih Malaysia Airlines.

Sumber yang rapat dengan syarikat itu berkata, hasil perbincangan antara kumpulan Pahamin dan Khazanah, asas pengambilalihan yang dikemukakan sebelum ini sebanyak 49 peratus, mungkin akan berubah melebihi 50 peratus.

Beliau berkata, ia sekali gus akan menjadikan Najah Air sebagai pemegang saham terbesar syarikat yang sedang mengalami krisis kewangan itu.

“Perjumpaan antara kumpulan Pahamin dan Khazanah yang turut disertai Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, berjalan dalam situasi yang boleh dikatakan positif.

“Malah, Khazanah sendiri turut selesa jika hanya menjadi pemegang saham minoriti dalam Malaysia Airlines. Perkara ini akan terus diperhalusi tetapi itu adalah komitmen yang diberikan Najah Air,” katanya kepada BH.

Ketika ditanya adakah Najah Air mampu memulihkan syarikat penerbangan nasional itu dalam tempoh 18 bulan seperti sasarannya sebelum ini, sumber berkata, jika Pahamin dan kumpulan bersedia menjadi pemegang saham terbesar, sudah semestinya mereka yakin mampu mengembalikan semula kedudukan Malaysia Airlines.

Mengenai sumber dana Najah Air yang dikatakan dari Jepun sebanyak RM1 bilion, beliau berkata ketika ini perkara itu masih dalam perbincangan awal dan tidak menolak kemungkinan terdapat sumber pendanaan daripada beberapa pihak lain.

Najah Air menjadi antara syarikat yang mengemukakan cadangan pengambilalihan Malaysia Airlines kepada kerajaan selain dari Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim dari Kumpulan The Weststar Group (Weststar).

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, baru-baru ini mengumumkan terdapat empat cadangan pengambilalihan dihantar kepada kerajaan dan masih belum memutuskan sama ada bakal menerima atau tidak cadangan itu.

Untuk rekod, syarikat penerbangan kebangsaan Australia, Qantas Airlines Ltd pernah bercadang untuk mengambil alih Malaysia Airlines sedekad yang lalu namun tidak berjaya berikutan tekanan yang diberikan oleh pihak kesatuan pekerja.

Syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia juga hampir menjalinkan perjanjian pertukaran saham dengan Malaysia Airlines pada tahun 2011 namun krisis dan campur tangan dalaman Malaysia Airlines dikatakan menjadi punca kepada kegagalan berkenaan.

Malaysia Airlines telah diambil alih sepenuhnya oleh pemegang saham terbesar Khazanah pada 2014 walau ketika itu dana kekayaan negara itu sudah pun memegang 70 peratus saham syarikat penerbangan itu.

Berita Harian X