Selasa, 23 Julai 2019 | 12:26pm

Prototaip kereta terbang jalani ujian di Jepun

KUALA LUMPUR: Prototaip mobiliti udara bandar (UAM) atau lebih dikenali sebagai ‘kereta terbang’ sudah pun menjalani ujian pemanduan di Jepun dan akan dibawa pulang ke negara ini dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi.

‘Kereta terbang’ dengan kapasiti seorang pemandu itu direka syarikat tempatan yang menyediakan penyelesaian dron dipacu teknologi kecerdasan buatan (AI) tempatan, Aerodyne Group.

Bagaimanapun, syarikat berkenaan tidak akan menguruskan hak intelek ‘kereta terbang’ terbabit.

Wartawan dan jurugambar BH juga berpeluang melihat sendiri gambar prototaip ‘kereta terbang’ berkenaan dan ia sama sekali berbeza dengan gambar ‘kereta terbang’ yang tular ketika Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA'19).

Difahamkan, bagi prototaip ‘kereta terbang’ berkenaan, ia boleh terbang antara 15 minit hingga 20 minit dan dijana kuasa bateri.

Ketua Eksekutif yang juga Pengasas Aerodyne Group, Kamarul A Muhamed, berkata ‘kereta terbang’ itu adalah seakan-akan dron tetapi dengan saiz yang lebih besar.

“Saya mengeluarkan pelaburan peribadi untuk membangunkan aspek kejuruteraan ‘kereta terbang’ itu. Ia tidak mendapat sebarang peruntukan daripada kerajaan mahupun menggunakan dana Aerodyne Group sendiri.

“Tujuan pelaburan itu dibuat kerana pasaran UAM mempunyai potensi untuk berkembang sehingga AS$500 bilion (RM2.05 trilion) dan memandangkan saya mengemudi syarikat yang mempunyai kepakaran dron, saya menggunakan kepakaran itu untuk membangunkan UAM,” katanya kepada BH ketika ditemui di pejabatnya di sini.

Aerodyne Group yang ditubuhkan pada 2014 kini mempunyai operasi di 25 negara lain termasuklah Amerika Syarikat, Australia, Brunei, Chile, Denmark, India, Indonesia dan Jepun.

Mengulas lanjut, Kamarul berkata rekaan ‘kereta terbang’ itu dibangunkan oleh bakat tempatan yang bekerja di syarikatnya.

“Ia dipasang di Jepun dan ujian percubaan juga dijalankan di negara berkenaan kerana kami berhadapan masalah untuk mendapat kelulusan penerbangan di sini. Ujian berkenaan juga dikendalikan juruterbang sebenar,” katanya.

Beliau berkata, konsep ‘kereta terbang’ yang dibangunkan pihaknya adalah untuk tujuan pengangkutan.

“Apa yang boleh saya katakan, konsep kereta terbang ini akan memasuki arus perdana dan digunakan secara menyeluruh pada 2030, bukannya sekarang.

“Sekarang hanyalah fasa percubaan dan perjalanan masih lagi panjang untuk direalisasikan. Masih ada beberapa perkara yang perlu ditangani jika mahu menggunakan UAM.

“Sebagai contoh, pada masa ini UAM mempunyai kekangan kuasa bateri. ‘Kereta terbang’ perlu diterbangkan dan didaratkan secara menegak (Vertical Take Off Landing) dan perlu dikuasakan secara elektrik (e-powered).

“Kekangan teknologi bateri pada masa ini menyebabkan tempoh penerbangan itu pendek tetapi saya percaya teknologi baharu dapat mengatasi masalah berkenaan.

“Selain itu, UAM juga perlu menggunakan konsep Pengurusan Trafik Tanpa Pemandu, jadi untuk menyepadukan semua sistem ini memerlukan masa yang panjang untuk direalisasikan,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X