Khamis, 25 Julai 2019 | 3:01pm
Yeo Bee Yin menyampaikan ucaptama pada Persidangan Modal Teroka dan Ekuiti Swasta Asia Tenggara 2019 di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Pelaburan VC, PE dicadang pengecualian cukai

KUALA LUMPUR: Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) berharap pengecualian cukai pendapatan sebanyak RM20 juta untuk pelaburan modal teroka (VC), dana VC atau ekuiti swasta (PE) yang dicadangkan dalam Belanjawan 2018, diwartakan hujung tahun ini.

Menterinya, Yeo Bee Yin berkata kementerian itu bekerjasama dengan Kementerian Kewangan (MoF) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk menyerahkan cadangan itu kepada Kabinet dalam tempoh dua minggu.

Beliau berkata, cadangan itu diluluskan oleh Kementerian Kewangan dan akan dilaksanakan oleh SC sebaik sahaja diluluskan oleh Kabinet.

VC, dana VC dan PE diletakkan di bawah SC.

“Dengan adanya perwartaan itu, syarikat korporat dan swasta yang melabur dalam instrumen ini, akan mendapat insentif cukai selepas tiga tahun dan bukan selepas keluar dari pelaburan," katanya dalam ucaptama pada Persidangan Modal Teroka dan Ekuiti Swasta Asia Tenggara 2019 di sini, hari ini.

Beliau juga berkata syarikat VC (dana) yang boleh menawarkan insentif itu, perlu berdaftar dengan SC pada 31 Disember 2019.

“Insentif ini bolah dituntut bagi pelaburan yang dibuat sehingga 2023, dengan tempoh insentif bermula pada tahap pertama pensijilan, oleh SC,” katanya.

Sementara itu, Bee Yin berkata kementerian itu sedang melalui penstrukturan semula, menyediakan kertas Kabinet yang akan dibentangkan pada masa yang sama mengenai penyusunan semula dan penyatuan lima agensi di bawahnya.

Agensi-agensi itu ialah Cradle Fund Sdn Bhd, Malaysia Debt Ventures Bhd, Malaysia Venture Capital Management Bhd (Mavcap), Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) dan Kumpulan Modal Perdana Sdn Bhd. - BERNAMA

Berita Harian X