Rabu, 31 Julai 2019 | 6:19pm
Foto hiasan.

Sumbangan PKS kepada KDNK meningkat 38.3 peratus

KUALA LUMPUR: Sumbangan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat sebanyak RM521.7 bilion atau 38.3 peratus tahun lalu, berbanding RM491.2 bilion iaitu 37.8 peratus pada 2017.

Jabatan Perangkaan dalam kenyataannya berkata, ia adalah sumbangan tertinggi sejak pembangunan Pelan Induk PKS (2012-2020).

KDNK PKS Malaysia bagi 2018 bagaimanapun berkembang pada kadar lebih perlahan pada 6.2 peratus berbanding 7.1 peratus pada 2017.

Prestasi ini mengatasi pertumbuhan KDNK Malaysia dan pertumbuhan sektor bukan PKS yang masing-masing mencatatkan pertumbuhan 4.7 peratus dan 3.8 peratus.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata, nilai ditambah PKS bagi sektor perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan 8.1 peratus berbanding 7.2 peratus pada tahun 2017.

Katanya, momentum pertumbuhan ini dipacu oleh subsektor perdagangan borong & runcit, makanan & minuman dan penginapan yang bertumbuh kepada 8.6 peratus.

“Subsektor kewangan, insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan yang meningkat kepada 7.6 peratus juga telah menyokong momentum pertumbuhan berkenaan,” katanya.

Bagi sektor pembuatan, nilai ditambah PKS berkembang sebanyak 5.5 peratus tahun lalu, lebih perlahan berbanding 6.8 yang dicatatkan tahun sebelumnya, dipacu produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka serta produk petroleum, kimia, getah dan plastik.

Eksport PKS turut menunjukkan daya tahan yang kukuh apabila mencatatkan pertumbuhan sebanyak 3.4 peratus pada 2018 berbanding 7.2 peratus pada 2017, dengan pertumbuhan syarikat besar perlahan dengan ketara sebanyak 3.6 peratus pada tahun lalu berbanding 17 peratus sebelumnya.

Nilai eksport PKS meningkat kepada RM171.9 bilion pada tahun 2018 daripada RM166.2 bilion pada tahun 2017, manakala sumbangan kepada eksport keseluruhan kekal pada 17.3 peratus.

Sementara itu, SME Corporation Malaysia (SME Corp) dalam kenyataannya berkata prestasi berkenaan menunjukkan PKS kini dalam landasan tepat untuk mencapai sasaran 41 peratus kepada KDNK menjelang 2020 sejajar Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) yang dilancarkan Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) baru-baru ini.

“PKS mencatatkan pertumbuhan sebanyak 6.2 peratus pada 2018 meningkat berbanding purata pertumbuhan jangka panjangnya sebanyak enam peratus antara 2001 hingga 2017.

“Pertumbuhan KDNK PKS juga terus mengatasi pertumbuhan KDNK keseluruhan iaitu sebanyak 4.7 peratus pada 2018 berbanding 5.7 peratus yang dicatat pada 2017,” katanya.

Berita Harian X