Isnin, 5 Ogos 2019 | 2:58pm

PUNB tiada kaitan koperasi tawar pembiayaan peribadi

KUALA LUMPUR: Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) mengingatkan usahawan di seluruh negara supaya tidak terkeliru dengan sebuah koperasi yang menggunakan akronim PUNB dalam menawarkan pembiayaan kewangan peribadi.

PUNB adalah badan keusahawanan yang ditubuhkan pada 17 Julai 1991 sebagai peneraju dalam meningkatkan jumlah dan kualiti usahawan Bumiputera yang terbabit dalam bidang ekonomi strategik melalui sokongan kewangan dan perniagaan.

Operasi perniagaan PUNB tertumpu kepada penawaran pakej keusahawanan bersepadu yang dirangka khusus untuk membantu usahawan Bumiputera memantapkan perniagaan, mengekalkan keuntungan dan membentuk perniagaan mereka ke arah kecemerlangan.

“PUNB tidak menyediakan sebarang pembiayaan peribadi. Kami adalah entiti yang berbeza. PUNB menasihatkan usahawan supaya berhati-hati dan tidak terkeliru dengan pihak yang menggunakan akronim yang sama dengan PUNB.

“PUNB mengurus sendiri semua urusan pembiayaan kewangannya tanpa menggunakan ejen, perkhidmatan perantaraan atau orang tengah,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Izwan Zainuddin.

Sebarang pertanyaan mengenai pembiayaan perniagaan PUNB boleh dibuat secara terus dengan menghubungi talian bebas tol 1300 13 7862 atau talian hotline 03- 2785 1477.

Pertanyaan juga boleh dibuat dengan menghubungi pegawai-pegawai PUNB di Ibu Pejabat Kuala Lumpur dan semua Pejabat Wilayah dan Cawangan PUNB.

Berita Harian X