Isnin, 5 Ogos 2019 | 3:36pm
Simpanan sawit Malaysia berkemungkinan meningkat buat kali pertama dalam tempoh lima bulan ke paras tertingginya dalam tiga bulan. - Foto hiasan
Simpanan sawit Malaysia berkemungkinan meningkat buat kali pertama dalam tempoh lima bulan ke paras tertingginya dalam tiga bulan. - Foto hiasan

Stok sawit meningkat kali pertama dalam lima bulan

KUALA LUMPUR: Simpanan sawit Malaysia berkemungkinan meningkat buat kali pertama dalam tempoh lima bulan ke paras tertingginya dalam tiga bulan, apabila pengeluaran mengatasi peningkatan eksport, demikian menurut kaji selidik Reuters.

Inventori di Malaysia, pengeluar sawit kedua terbesar dunia diunjurkan meningkat 1.8 peratus daripada bulan sebelumnya kepada 2.47 juta tan pada akhir Julai, menurut anggaran median tujuh pengeluar, peniaga dan penganalisis yang dibuat oleh Reuters.

Simpanan sawit sebelum ini susut empat bulan berturut-turut, daripada paras tiga juta tan pada awal tahun ini.

Peningkatan inventori berisiko menjejaskan harga penanda aras sawit, yang jatuh ke paras terendah empat tahun pertengahan bulan lalu pada RM1,916 satu tan.

Harga sawit telah meningkat kira-kira sembilan peratus sejak itu dan kali terakhir diniagakan pada RM2,085. Peningkatan stok dibantu oleh output lebih tinggi.

Kaji selidik menganggarkan pengeluaran akan meningkat 11.4 peratus kepada 1.69 juta tan, paras tertinggi sejak Januari dan kenaikan bulanan terbesar dalam 10 bulan.

“Output Julai meningkat disebabkan oleh faktor bermusim dan hari bekerja lebih banyak,” kata Ketua Penyelidikan Perladangan CIMB Investment Bank, Ivy Ng dalam satu nota.

“Kenaikan output juga berkemungkinan dibantu oleh hasil lebih tinggi estet sawit Sarawak dan peningkatan inventori Julai yang menunjukkan bahawa stok sawit telah berkurangan pada Jun,” kata Ng.

Eksport sawit dilihat meningkat 3.8 peratus daripada Jun kepada 1.44 juta tan bulan lalu, disokong oleh permintaan daripada pasaran utama iaitu India, Kesatuan Eropah (EU) dan China.

“India sedang menambah simpanan menjelang perayaan, manakala EU membeli menjelang kemungkinan duti import ke atas sawit,” kata Ketua Penyelidik Sunvin Group, Anilkumar Bagani.

“China juga membeli kerana perahan minyak sayurannya perlahan disebabkan demam babi Afrika dan mereka terpaksa membeli minyak sayuran lain untuk memenuhi permintaan,” tambahnya. - Reuters

Berita Harian X