Isnin, 5 Ogos 2019 | 5:48pm

Belanjawan 2020 mampu pacu ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia akan terus berkembang jika Belanjawan 2020 adalah belanjawan pengembangan dengan memberi tumpuan kepada perbelanjaan infrastruktur dan peningkatan perbelanjaan pembangunan.

Ketua Penyelidik/Ketua Ahli Ekonomi Affin Hwang Capital, Alan Tan, berkata ekonomi negara dijangka akan terus mencatatkan pertumbuhan dengan dipacu oleh penggunaan swasta.

Sebagai ekonomi terbuka, beliau berkata Malaysia tidak akan terlepas daripada menerima impak ketidaktentuan global.

“Kami mengunjurkan ekonomi (Malaysia) akan berkembang 4.5 peratus tahun ini dan berlegar 4.5 peratus tahun depan,” katanya pada ceramah Tinjauan Pasaran Separuh Kedua bagi Asia dan Malaysia di sini, hari ini.

Ceramah itu diadakan sempena majlis penutup Cabaran Saham Antara Universiti 2019 yang dianjurkan secara bersama oleh N2N Connect Bhd, Affin Hwang Capital, Macquarie Capital Securities, Public Investment Bank dan AmInvestment Bank dengan sokongan Bursa Malaysia Bhd.


Ketua Penyelidik/Ketua Ahli Ekonomi Affin Hwang Capital, Alan Tan (kiri) pada ceramah Tinjauan Pasaran Separuh Kedua bagi Asia dan Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Salhani Ibrahim

Mengenai aliran dana asing ke dalam pasaran tempatan, Tan berkata, pihaknya menjangkakan aliran modal asing akan kembali ke dalam pasaran baharu muncul jika Amerika Syarikat (AS) terus mengurangkan kadar faedahnya.

Beliau berkata, pengaliran masuk modal asing itu akan menarik minat ke dalam pasaran saham tempatan.

Sementara itu, Ketua Penyelidik Public Investment Bank, Ching Weng Jin, berkata pihaknya juga mengunjurkan ekonomi Malaysia akan berkembang 4.5 peratus tahun ini.

Beliau berkata, pertumbuhan 4.5 peratus boleh dianggap sebagai pertumbuhan yang boleh dibanggakan di tengah-tengah persekitaran ekonomi global yang perlahan.

“Ekonomi masih berkembang...jangkaan belanjawan pengembangan akan membantu merangsang pertumbuhan,” katanya.

Berita Harian X