Khamis, 8 Ogos 2019 | 5:24pm
Ketua Pegawai Eksekutif Animonsta, Nizam Abd Razak (kanan) bersama Naib Presiden MDEC, Hasnul Hadi Samsudin (tengah) melihat lukisan Boboiboy, di Animonsta Studios Cyberjaya. - Foto Zunnur Al Shafiq

Malaysia sedia jadi peneraju kandungan digital kreatif global

KUALA LUMPUR: Malaysia berada di dalam landasan tepat untuk menjadi antara peserta utama dalam industri kandungan digital kreatif global yang kini dianggarkan bernilai AS$2.4 trilion (RM10.04 trilion).

Malah, negara ketika ini boleh dikatakan sudah menjadi peneraju peringkat serantau dalam industri berkenaan khususnya yang membabitkan bidang animasi dan permainan video.

Naib Presiden Teknologi dan Kandungan Kreatif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Hasnul Hadi Samsudin, segmen animasi ketika ini menunjukkan prestasi amat baik dan Malaysia boleh dianggap sudah menjadi pemain global apabila 20 produk animasi tempatan seperti Upin Ipin dan Boboiboy dipasarkan kepada lebih 120 negara.

“Dari segi animasi, memang tidak boleh dinafikan yang kita paling ke hadapan dalam kalangan negara Asia Tenggara. Namun begitu, untuk sektor permainan video, biarpun kita juga adalah yang pertama di rantau ini, tetapi masih perlu banyak dilakukan untuk sampai ke peringkat global kerana kita baru bermula.

“Mengambil contoh Kanada sebagai penanda aras, ia kini mempunyai lebih 18,000 kakitangan dalam industri pembangunan permainan video berbanding Malaysia yang hanya sekitar seribu lebih biarpun jumlah penduduk antara kedua-dua negara adalah tidak jauh berbeza.

“Kanada mengambil masa selama 25 tahun untuk mencapai ke kedudukan mereka sekarang ini dan Malaysia kini berada di dalam landasan tepat untuk turut muncul sebagai antara pemain utama dalam industri permainan video global,” katanya kepada BH, ketika ditemui di sini, semalam.

Mengulas lanjut Hasnul berkata, menjadi aspirasi MDEC untuk menaikkan Malaysia sebagai peneraju global dalam kandungan digital kreatif namun ia perlu dilakukan secara berperingkat.

Malaysia, katanya, perlu membina ekosistem yang baik di sekeliling industri ini termasuk mempunyai infrastruktur yang tepat, dasar-dasar dan struktur sokongan supaya syarikat boleh berkembang dan sekali gus menarik pelabur datang ke sini.

“Apabila saya mengatakan Malaysia adalah peneraju di rantau ini, ia bermaksud yang kita mempunyai struktur paling lengkap dalam industri ini. Bagi merealisasikan hasrat ini, kita menyediakan latihan di sekolah, di universiti, untuk syarikat pemula, syarikat yang sudah kukuh dan menarik pelaburan asing ke sini seperti syarikat dari Jepun, Bandai-Namco.

“Kehadiran syarikat asing ini sebenarnya membantu merapatkan jurang Malaysia untuk menjadi pemain utama di rantau dan peringkat global. Ini kerana, mereka menghasilkan produk untuk pasaran global pada peringkat tertinggi.

“Ini membolehkan kumpulan bakat yang bekerja dengan syarikat ini mendapat pendedahan dari segi pengalaman, pengeluaran produk dan projek supaya apabila satu hari nanti, apabila mereka putuskan untuk membuka syarikat sendiri, mereka akan membawa bersama pengalaman dan pengetahuan itu,” katanya.

Sebagai contoh katanya, ini berlaku kepada pengasas bersama Metronomik, Wan Hazmer Wan Abd Halim, yang pulang ke Malaysia pada tahun 2017 selepas tujuh tahun bekerja dengan pembangun permainan video terkemuka dunia di Jepun, Square Enix.

“Jika anda bandingkan permainan dikeluarkan beliau dengan permainan lain yang dibangunkan oleh syarikat tempatan, ia berbeza kerana Wan Hazmer tahu apa diperlukan untuk menghasilkan permainan bertaraf global.

“Inilah langkah yang diperlukan untuk menjadi peneraju global. Cuma, pada masa ini apa yang kita kurang ialah dari segi pengumpulan dana, yang mana sebahagian besar datang daripada kerajaan, tetapi masih belum ada dari sektor swasta.

“Selain itu, Malaysia juga kekurangan pelabur yang kita gelar ‘pelabur pintar’. Mereka ini adalah pelabur yang tahu selok belok perniagaan dengan baik termasuk mengetahui pasaran dengan mendalam dan juga rangkaian di dalamnya. Ini bermaksud, mereka bukan hanya memberi dana, tetapi juga membantu memperkenalkan syarikat kepada penerbit atau kepada audiens yang tepat,” katanya.

Berita Harian X