Khamis, 8 Ogos 2019 | 5:48pm
Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan Antarabangsa) Datuk Seri Norazman Ayob ketika berucap dalam Sidang Taklimat Media mengenai Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2020 di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) hari ini. - Foto BERNAMA

Penganjuran APEC 2020 perkukuh dagangan negara

KUALA LUMPUR: Penganjuran Sidang Kemuncak Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada 2020 akan meletakkan Malaysia dalam landasan betul sebagai sebuah negara perdagangan yang signifikan.

Ia juga berpotensi meluaskan lagi segmen perniagaan Malaysia sehingga merentasi sempadan.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Norazman Ayob, berkata APEC memainkan antara peranan paling berpengaruh ke atas ekonomi dunia dengan AS$48 trilion atau 60 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global adalah daripada pakatan kerjasama itu.

Beliau berkata, 47 peratus perdagangan global juga datang daripada anggota APEC yang merekodkan jumlah perdagangan global sebanyak AS$22 trilion.

“Kali terakhir Malaysia menjadi penganjur APEC adalah pada 1998 dan penganjuran pada tahun depan akan menjadi penanda aras penting kepada ekonomi tempatan dan global.

“Penganjuran ini adalah usaha negara dan menyaksikan ia bakal menjadi platform penganjuran terbaik dari segala sudut termasuk hospitaliti, semangat Malaysia Boleh dan kemakmuran bersama yang sememangnya menjadi nadi negara,” katanya pada Taklimat Media APEC 2020 di sini, hari ini.

Sekretariat Negara APEC 2020 menjelaskan pada 2018, ekonomi APEC menyumbang sebanyak 77.6 peratus kepada keseluruhan perdagangan Malaysia, merangkumi 77.8 peratus eksport dan 77.3 peratus import.

Jumlah pelaburan langsung asing (FDI) dalam sektor pembuatan pula menyumbang 74 peratus atau RM42.65 bilion pada 2018 berbanding RM12.6 bilion pada 2017.

Sementara itu, jumlah pelaburan yang telah dilaksanakan dalam pembuatan direkodkan sebanyak RM1 bilion.

APEC yang terdiri daripada 21 negara, adalah forum ekonomi serantau ditubuhkan pada 1989 bagi memanfaatkan kebergantungan yang semakin meningkat di kalangan negara Asia Pasifik.

Ia bertujuan untuk mewujudkan kemakmuran dengan menggalakkan keseimbangan, inklusif, kelestarian, inovatif dan jaminan pertumbuhan termasuk meningkatkan lagi integrasi ekonomi serantau.

Forum perdagangan global yang terkemuka itu akan menyediakan banyak peluang untuk rakyat Malaysia berkembang khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang akan mengambil bahagian dalam persediaan serta penganjuran acara itu.

Ia sejajar unsur teras dan matlamat penganjuran APEC 2020, iaitu 'Perkongsian Kemakmuran', 'Hospitaliti Malaysia' dan 'Malaysia Boleh'.

Berita Harian X