Jumaat, 9 Ogos 2019 | 3:33pm
Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Gobind Singh Deo (tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri (tiga kiri) semasa pelancaran simbolik Pemberitahuan Tahap Up KL 2019 di Pusat Teater Plenary Kuala Lumpur Convention Centre. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

DICE pacu Malaysia jadi hab kandungan digital serantau

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang merangka Dasar Ekosistem Kandungan Digital atau DICE dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai hab industri pembuatan kandungan digital bagi rantau ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, berkata DICE yang dijalankan dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dijangka mula dilaksanakan menjelang akhir tahun ini.

Katanya, kerajaan mengiktiraf industri permainan dalam talian sebagai enjin penting bagi pertumbuhan ekonomi di rantau ini.

Justeru, beliau menambah kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada industri pembuatan permainan digital kerana ia mampu menjana pendapatan lumayan selaras dengan usaha mempromosikan kandungan kreatif digital tempatan.

“Langkah untuk menjadikan Malaysia sebagai hab industri pembuatan kandungan digital bagi rantau ini juga akan menarik pelabur luar untuk melabur di Malaysia.

“Bagi mempertingkatkan pertumbuhan industri ini, kerajaan bersama MDEC sedang merangka sebuah Dasar Ekosistem Kandungan Digital atau DICE untuk terus menyokong dan memperkukuh kedudukan Malaysia dalam kandungan digital di rantau ini.

“DICE bertujuan memajukan penyelidikan, penciptaan harta intelek (IP), pengkomersialan, penjenamaan dan pemasaran untuk meningkatkan potensi eksport industri permainan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pra pelancaran persidangan tahunan pembangun permainan Asia Tenggara, Level Up KL 2019, di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri dan Naib Presiden Bahagian Kandungan Kreatif dan Teknologi MDEC, Hasnul Hadi Samsudin.

Terdahulu, Gobind melancarkan permainan Re:Legend yang dibangunkan oleh syarikat tempatan, Magnus Game Studio, untuk peringkat global.

Permainan itu akan mula dijual di seluruh dunia pada 30 Ogos ini di platform pengedaran permainan video digital, STEAM.

Pada majlis sama beliau turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) di antara MDEC dan Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) dalam bekerjasama membangun, mempromosi dan memacu ekosistem e-sukan negara.

Mengulas lanjut, Gobind berkata, industri permainan juga dapat mewujudkan peluang pekerjaan terutamanya untuk anak muda, selain mampu menjana berbilion ringgit kepada ekonomi negara.

Katanya, kerajaan kini sentiasa peka kepada kehendak dan keperluan anak-anak muda termasuk menerusi sokongan mempelbagaikan program berkaitan e-Sukan dengan lebih meluas lagi di negara ini.

Sementara itu, Hasnul Hadi berkata, LEVEL UP KL 2019 yang memasuki tahun kelimanya ini akan diadakan pada 6 November ini dan akan turut dibuka kepada orang awam pada 9 November.

“Permintaan untuk membenarkan orang awam turut serta dalam persidangan ini diusulkan sendiri oleh pembangun permainan tempatan dan serantau dan pada tahun ini kami merealisasikannya,” katanya.

Persidangan yang diterajui oleh MDEC itu bertujuan membawa komuniti pembangunan permainan tempatan, serantau dan antarabangsa, penerbit dan penyedia teknologi berkumpul bagi membolehkan mereka berkongsi maklumat berkaitan teknologi dan trend perniagaan dalam industri berkaitan.

Berita Harian X