Jumaat, 9 Ogos 2019 | 7:51pm
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Jurang kelajuan jalur lebar Malaysia, negara maju semakin kecil

KUALA LUMPUR: Jurang dalam purata kelajuan perkhidmatan jalur lebar tetap antara Malaysia dan negara-negara utama lain telah berkurangan kepada hanya lebih dua kali daripada enam kali lebih cepat.

Ia hasil daripada langkah-langkah pembaharuan pengawalseliaan utama yang diambil pada tahun lalu.

Analisis Bank Dunia menunjukkan purata kelajuan jalur lebar tetap Malaysia telah meningkat dalam tempoh setahun dan pembaharuan pengawalseliaan membawa kepada penurunan harga perkhidmatan jalur lebar tetap dan mencetuskan perubahan dari segi permintaan pengguna kepada Internet yang lebih cepat.

“Ini penting berikutan analisis kami mendapati kelewatan Malaysia dalam kelajuan Internet sebahagiannya disebabkan persaingan terhad dalam pasaran jalur lebar, disebabkan dominasi satu syarikat yang memegang 90 peratus bahagian pasaran sehingga Disember 2017.

“Pada masa itu, Malaysia mempunyai pasaran jalur lebar tetap paling tertumpu di seluruh Asia Pasifik untuk negara yang mempunyai jumlah penduduk lebih besar daripada satu juta.

“Persaingan terhad dan kesukaran dalam penggunaan rangkaian mengekang penyedia perkhidmatan internet (ISP) alternatif daripada melaksanakan rangkaian atau menawarkan perkhidmatan pada terma-terma kompetitif,” menurut bank itu dalam analisis terkininya yang diterbitkan di laman webnya.

Pengawal selia telekomunikasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memperkenalkan Standard Mandatori mengenai Harga Capaian (MSAP), yang mengawal selia harga dan terma-terma bagi ISP alternatif untuk mengakses kapasiti jalur lebar borong sedia ada.

Pengenalan MSAP telah membawa kepada kualiti sambungan jalur lebar tetap, termasuk perkhidmatan internet fiber dan kebanyakan penyedia perkhidmatan tempatan mengumumkan pelan langganan jalur lebar baharu dengan kelajuan yang lebih cepat pada harga yang lebih rendah.

“Purata harga untuk perkhidmatan jalur lebar asas dengan 30 Megabit sesaat perkhidmatan merosot lebih 30 peratus pada 2018. Ternyata, purata harga pelan untuk kelajuan melebihi satu Giga bit sesaat atau sasaran kelajuan untuk negara berpendapatan tinggi, susut sebanyak 40 peratus,” katanya.

Sehubungan itu, pelanggan Malaysia telah mula beralih kepada pelan jalur lebar dengan kelajuan yang lebih pantas dan SKMM mendedahkan jumlah langganan jalur lebar tetap dengan kelajuan muat turun lebih daripada 100 Mbps meningkat dengan faktor lapan hingga 1.2 juta pelanggan pada akhir 2018.

-BERNAMA

Berita Harian X