Selasa, 13 Ogos 2019 | 10:25am

Pertumbuhan ekonomi Singapura direndahkan kepada 0.0-1.0% bagi 2019

SINGAPURA: Singapura menurunkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2019 kepada "0.0 hingga 1.0 peratus" daripada "1.5 hingga 2.5 peratus" yang diunjurkan sebelum ini.

Unjuran itu dibuat selepas mengambil kira persekitaran ekonomi global dan domestik, serta prestasi ekonomi Singapura pada separuh pertama tahun ini, kata Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) republik itu dalam prestasi ekonomi terbarunya dikeluarkan hari ini.

bagi suku kedua, ekonomi republik itu berkembang sedikit sebanyak 0.1 peratus pada asas tahun ke tahun, menyederhana daripada pertumbuhan 1.1 peratus pada suku sebelumnya.

MTI berkata, berdasarkan asas suku ke suku yang diselaraskan, ekonomi menguncup 3.3 peratus, songsangan daripada pertumbuhan 3.8 peratus pada suku pertama.

Sektor pembuatan menguncup 3.1 peratus tahun ke tahun, lebih ketara daripada penguncupan 0.3 peratus pada suku sebelumnya.

Pengeluaran sektor pembuatan sebahagian besarnya ditarik turun oleh penurunan output dalam elektronik, kejuruteraan pengangkutan dan klaster kejuruteraan berkejituan tinggi.

Sektor perdagangan borong dan runcit menguncup 3.2 peratus tahun ke tahun, lebih besar daripada penurunan 2.5 peratus pada suku sebelumnya.

Berhubung tinjauan ekonomi bagi 2019, MTI berkata prospek pertumbuhan global semakin lemah sejak Mei, dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menurunkan ramalan pertumbuhan global untuk 2019 dalam kajian Julai.

MTI berkata, pertumbuhan KDNK di kebanyakan pasaran permintaan utama Singapura pada separuh kedua 2019 dijangka semakin perlahan atau kekal tidak berubah, berbanding separuh pertama.

Bagaimanapun, pertumbuhan KDNK dalam ekonomi utama ASEAN dijangka kekal berdaya tahan sepanjang tahun. - BERNAMA

Berita Harian X