Selasa, 13 Ogos 2019 | 1:00pm
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Madani Sahari. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

Kereta nasional baharu jana ekosistem teknologi terkini

KUALA LUMPUR: Kereta nasional baharu yang akan dilancarkan pada Mac 2021 bakal memainkan peranan penting dalam menjana ekosistem teknologi terkini di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Madani Sahari, berkata perkara itu dapat memberikan impak positif kepada industri tempatan melalui peluang perniagaan dan pekerjaan di dalam bidang teknologi baharu.

Katanya, kereta nasional sejak sekian lama telah menjadi pemangkin proses industralisasi negara bermula dengan PROTON dan disusuli Perodua beberapa tahun selepas itu.

“Ia telah menjana peluang bagi rakyat Malaysia untuk menjalankan perniagaan di dalam suatu sektor bernilai tinggi berasaskan ilmu sains, kejuruteraan dan teknologi.

“Kerajaan juga sentiasa mengutamakan persaingan yang sihat di kalangan syarikat pengeluar kenderaan tempatan bagi memastikan nilai terbaik bagi pengguna di negara ini.

“Lantaran itu sehingga kini, kedua-dua syarikat automotif negara masih memainkan peranan besar dalam perindustrian negara, dan terus menjalankan pelan perniagaan masing-masing,” katanya kepada BH.

Madani berkata, kenderaan pada masa akan datang juga dijangka mengalami suatu lonjakan teknologi, dan berubah haluan kepada teknologi hibrid dan elektrik.

Lonjakan itu, katanya tidak hanya terhad kepada pacuan, malah akan melihat perubahan dari segi cara pemanduan dan juga bahan yang dipilih bagi membina kenderaan berkenaan.

Justeru, beliau menegaskan peningkatan teknologi baharu dalam kereta nasional baharu dijangka mampu memberi peluang kepada pasaran eksport.

“Menjana ekosistem teknologi baharu membolehkan kereta nasional baharu mendapat tempat di pasaran eksport. Sudah semestinya perusahaan automotif perlu mempunyai pelan hala tuju bagi menjangkau pasaran eksport, termasuklah kereta nasional baharu.

“Kebolehan eksport itu bergantung kepada kualiti, teknologi dan ditawarkan serta identiti yang ditampilkan oleh pengeluar dan vendor yang kompetitif.

“Kebolehan daya saing inilah yang disasarkan melalui kereta nasional baharu,” katanya.

Kerajaan baru-baru ini mengumumkan kereta nasional baharu dijangka berada di jalan raya pada 2021 dan model pertama adalah sedan segmen C dengan teknologi hibrid.

Model pertama itu akan dibangunkan syarikat penyelidikan dan pembangunan tempatan, DreamEDGE Sdn Bhd (DreamEDGE) dengan sokongan teknologi daripada syarikat Jepun, Daihatsu Motor Company.

Sementara itu pakar kejuruteraan automotif, Prof Dr Abu Talib Othman, berkata sebarang projek baharu negara berkaitan kejuruteraan dan teknologi akan dapat membuka peluang pekerjaan baharu dan meningkatkan tenaga kerja mahir tempatan.

Beliau berkata, usaha itu adalah dimensi baharu kepada negara meluaskan penyertaannya sebagai peserta industri teknologi terkini global.

“Kita akan melihat banyak kejayaan dalam kreativiti dan inovasi. Rekod syarikat tempatan sudah cukup terbukti berupaya menguasai teknologi ini.

“Ia bukan sesuatu yang sukar tetapi ia memerlukan kerjasama semua pihak,” katanya.

Abu Talib yang juga Dekan Universiti Kuala Lumpur Malaysian Spanish Institute (UniKL-MSI), berkata, pengenalan kereta nasional baharu ini juga membolehkan Malaysia bersaing dengan negara luar dari segi kualiti dan nilai yang terbaik untuk wang.

Beliau berkata, persaingan dalam perniagaan industri automotif sangat hebat dan negara memerlukan rantaian bekalan yang lengkap dari sumber bahan mentah.

“Model perniagaan keretan nasional baharu ini mestilah ditentukan dengan betul. Negara harus mengambil inisiatif yang akan menghasilkan lebih banyak aktiviti kejuruteraan yang mewujudkan pengetahuan dan pekerjaan.

“Apa yang penting, kita memerlukan pengurusan tenaga kerja yang sangat kukuh,” katanya.

Bagi penganalisis ekonomi, Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata kewujudan kereta nasional baharu ini akan membuatkan landskap industri automotif bertambah kompetitif.

Sebagai contoh, katanya PROTON dan Perodua pasti akan memastikan kelangsungan mereka dan akan terus bersaing dalam menghasilkan produk dengan teknologi baharu.

“Selain itu, jika kereta nasional baharu berpotensi untuk pasaran eksport yang bakal meningkatkan pendapatan, syarikat automotif tempatan yang lain juga seharusnya mencari pasaran eksport dan tidak hanya bergantung kepada pasaran domestik.

“Ini secara tidak langsung memerlukan mereka mencapai tahap kualiti yang tinggi serta reka bentuk terbaharu yang dipacu teknologi terkini.

“Mereka juga harus meningkatkan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan dan bukan hanya menjadi tempat pemasangan kenderaan di Malaysia untuk dijual di Malaysia,” katanya.

Aimi berkata, kereta nasional baharu ini perlu dimiliki sepenuhnya oleh negara, iaitu mengeluarkan kenderaan berkualiti pada harga mampu milik serta kompetitif seperti kenderaan import tanpa dikenakan tarif.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X