Selasa, 13 Ogos 2019 | 8:49pm
PENGARAH Maher Saham Sdn Bhd, Maher Alias ketika mengadakan kelas Bengkel Super Trader di sini, baru-baru ini. - Ihsan Maher Saham

Pelajari teknik untung 100 peratus labur saham

KUALA LUMPUR: “Jika mengikut teknik yang betul, pelabur boleh mengaut keuntungan antara 20 hingga 30 peratus dalam tempoh empat bulan manakala untuk tempoh setahun, mereka bakal menjana keuntungan antara 100 hingga 300 peratus.”

Demikian menurut Pengarah Maher Saham Sdn Bhd, Maher Alias, yang mengendalikan kelas mempelajari peringkat asas dan peringkat lanjutan mengenai pelaburan dalam pasaran saham Bursa Malaysia.

Terbuka kepada orang awam dengan modal serendah RM50,beliau berkata, ilmu yang ditawarkan di dalam kelas yang sudah mendidik hampir 1,000 peserta sejak mula beroperasi pada 2016 itu adalah cara untuk mengenali kaunter saham, memilih saham berpotensi, cara dagangan dan keuntungan serta risiko yang dihadapi.

Beliau turut dibantu rakan kongsi, Ketua Pegawai Eksekutif Maher Saham, Elyas Amir Ramli dan Pengurus Sumber, Shazwan Afiq Ismaon.

Mengulas lanjut, Maher berkata, kursus itu menawarkan kelas pembelajaran selama setengah hari di beberapa lokasi seluruh Malaysia.

“Program terbaharu yang bakal dianjurkan ialah pada 17 Ogos ini di Shah Alam yang bakal membabitkan antara 200 hingga 300 peserta.

“Mereka yang berminat menyertai bengkel ini ialah yang berumur antara 25 hingga 35 tahun,” katanya ketika ditemui pada sesi Bengkel Super Trader di sini, baru-baru ini.

Maher berkata, kesinambungan daripada bengkel asas berkenaan, syarikat turut menawarkan kelas bimbingan lanjutan khusus untuk menambah lebih banyak

pengetahuan mengenai pelaburan saham, cara mengaut keuntungan dan

menguruskan risiko kerugian, mempelajari teknik melabur dengan cara yang

betul dan memiliki akaun Central Depository System (CDS).

Melalui akaun berkenaan, ia akan membolehkan pelabur membeli mana-mana saham berpotensi di Bursa Malaysia.

“Kursus berkenaan mengenakan yuran sebanyak RM999 seorang,” katanya.

Katanya, peserta yang mengikuti kelas berkenaan selepas itu boleh berdagang di platform Bursa Malaysia dengan modal serendah RM500.

“Namun peserta perlu sentiasa ingat. Keuntungan adalah wajib dan kerugian itu pasti. Ini kerana, ada sesetengah pelabur hanya mahu raih untung sahaja tetapi tidak mahu mengambil risiko kerugian.

“Keuntungan yang bakal diperolehi pula bergantung kepada banyak faktor antaranya teknik yang betul dan memilih kaunter yang betul selain modal yang dilaburkan,” katanya.

Keistimewaan Maher Saham berbanding kelas saham yang lain adalah, pihak syarikat menawarkan pembukaan akaun CDS secara percuma kepada mana-mana peserta yang berminat untuk mendaftar.

Berita Harian X