Rabu, 14 Ogos 2019 | 8:39pm
Pengarah e-dagang MDEC, Song Hock Koon. - NSTP/Owee Ah Chun

MDEC sasar pertumbuhan e-dagang 20 peratus

KUALA LUMPUR: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Sdn Bhd menyasarkan pertumbuhan 20 peratus dari tahun ke tahun dalam sektor e-dagang menjelang 2020 berbanding hanya 12.5 peratus pada 2017.

Menurut Pengarah e-dagang MDEC, Song Hock Koon, beliau yakin sasaran itu boleh dicapai dengan sokongan berterusan oleh kerajaan yang bermula sejak 2017.

Sebelum campur tangan kerajaan, sumbangan e-dagang dalam KDNK mencatatkan pertumbuhan hampir 11 peratus.

“Tetapi dengan kewujudan Pelan Hala Tuju Strategik E-Dagang Kebangsaan, kami berharap angka ini akan naik berganda pada 2020 memandangkan pelan ini akan membantu mereka mengurangkan kos.

“Selain itu, pengguna boleh juga mendapat manfaat dan menjimatkan wang melalui pelbagai promosi termasuk kempen yang dilaksanakan oleh platform e-dagang bagi menarik minat pembeli,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran 9.9 Super Shopping Day oleh Shopee di sini, hari ini.

Beliau ketika mengulas mengenai acara jualan dalam talian #MYCYBERSALE yang memasuki tahun keenam berkata, Persatuan ICT Kebangsaan Malaysia (PIKOM) akan terus menganjurkan acara itu dengan penyertaan yang lebih tinggi daripada peniaga dan pembeli.

“Tahun lalu, nilai dagangan kasar (GMV) yang diraih mencapai RM390 juta,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X