Rabu, 14 Ogos 2019 | 10:02pm
India mengimport 18.3 peratus lebih banyak minyak sawit pada Julai 2019 berbanding Jun 2019. - Foto hiasan

Import minyak sawit India melonjak

NEW DELHI: India mengimport 18.3 peratus lebih banyak minyak sawit pada Julai 2019 berbanding Jun 2019, demikian menurut data bulanan yang dikeluarkan oleh kumpulan industri, Solvent Extractors’ Association of India (SEA) hari ini.

Kumpulan itu berkata, import minyak sawit negara berkenaan meningkat kepada 812,805 tan pada bulan itu berbanding 686,886 tan pada bulan sebelumnya.

Keseluruhannya, import bulanan minyak boleh dimakan meningkat 26 peratus kepada 1.34 juta tan metrik pada Julai daripada 1.07 juta tan metrik pada bulan sebelumnya.

SEA berkata, harga minyak sawit di pasaran antarabangsa turun antara 10 dan 16 peratus dalam tempoh 12 bulan lalu, meningkatkan pembelian produk minyak sawit India.

Malaysia dan Indonesia adalah sumber utama minyak sawit India yang kebanyakannya digunakan bagi masakan.

Menurut Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini, India mengimport 2.16 juta tan minyak sawit dari Malaysia, peningkatan 76 peratus berbanding tempoh sama pada 2018. - BERNAMA

Berita Harian X