X
Ahad, 18 Ogos 2019 | 7:06pm
PENGERUSI Rizab Persekutuan (Fed), Jerome Powell.
PENGERUSI Rizab Persekutuan (Fed), Jerome Powell.

Pasaran tunggu ucapan Pengerusi Fed minggu ini

ZURICH: Perhatian akan terarah kepada sebuah resort kecil Wyoming minggu ini, apabila Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed), Jerome Powell akan berucap buat kali pertama sejak pasaran bon menekan loceng amaran kemelesetan.

Ucapannya pada perhimpunan tahunan Fed Kansas akan diperhatikan dengan penuh minat bagi mendapatkan isyarat apakah yang bakal dilaksanakan seterusnya oleh pembuat dasar Amerika Syarikat (AS) itu.

Pemotongan kadar faedah sebanyak 25 mata diambil kira sepenuhnya pada September, namun masih belum jelas apakah yang perlu diambil untuk mendesak pegawai Fed untuk memulakan pelonggaran kuantitatif.

Data AS masih terarah kepada momentum ekonomi; inflasi meningkat dan jualan runcit turut melonjak pada Julai.

Namun, ketidaktentuan perang perdagangan AS-China yang tidak berkesudahan dan isyarat kelemahan di tempat lain dunia terarah kepada masalah besar dalam masa terdekat ini.

Pulangan perbendaharaan 10 tahun jatuh di bawah kadar dua tahun buat kali pertama sejak 2007.

Penyongsangan itu tidak bertahan lama, namun pasaran bon memperlihatkan tinjauannya dengan jelas.

“Ucapan Powell akan dipantau bagi mendapatkan isyarat sama ada pembuat dasar sedang menimbang semula penilaian bagi membolehkan pemotongan kadar faedah menjadi kitaran pelonggaran penuh,” kata Ahli Ekonomi Bloomberg, Yelena Shulyatyeva dan Eliza Winger.

“Memandangkan risiko kepada tinjauan ekonomi sedang memuncak, sebarang penjelasan berhubung keadaannya yang boleh mendesak Fed melaksanakan langkah bukan konvensional, seperti pelonggaran kuantitatif, adalah amat mustahak.”

Ia akan menjadi minggu yang sibuk buat Fed. Perhimpunan pada Rabu akan menyediakan minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Julai, apabila ia memotong kadar faedah buat kali pertama sejak krisis kewangan.

Powell menganggapnya sebagai ‘pelarasan kitaran pertengahan’, berbanding bermulanya kitaran pelonggaran dasar yang besar.

Di Asia, eksport Korea Selatan pada Rabu akan memberikan bacaan awal mengenai perdagangan global.

Angka bagi Ogos itu akan menyusuli penurunan mendadak pada kedua-dua bulan Jun dan Julai.

Kebimbangan perdagangan global juga memberikan kesan di Jepun, di mana daya tarikan selamat yen melonjakkan mata wangnya lebih tinggi.

-Bloomberg

Berita Harian X