Isnin, 19 Ogos 2019 | 4:29pm

Laporan rangsangan ekonomi buat yen, franc tertekan

TOKYO: Mata wang selamat seperti yen dan franc Switzerland berada di bawah tekanan apabila jangkaan pembuat dasar akan memperkenalkan rangsangan baharu meredakan kebimbangan terhadap kelembapan ekonomi global.

Harapan sedemikian mendapat sokongan daripada pembaharuan kadar faedah bank pusat China diumumkan hujung minggu lalu, yang dijangka mengurangkan kos pinjaman korporat di samping laporan rangsangan fiskal baharu di Jerman.

Bagaimanapun, keyakinan pelabur dijangka terhad menjelang keputusan Amerika Syarikat (AS) sama ada untuk membenarkan firma China, Huawei Technologies untuk membeli bekalan daripada syarikat-syarikat AS.

“Huawei adalah ujian besar untuk melihat sama ada ‘mood’ risiko semasa akan berterusan dalam pasaran mata wang,” kata Pengurus Besar Gaitame.com Research Institute, Takuya Kanda.

“Ada situasi yang tenang ketika ini kerana berita rangsangan menyokong dolar berbanding mata wang selamat, namun saya tidak pasti berapa lama ketenangan ini akan bertahan,” tambahnya.

Indeks dolar, yang mengukur dolar berbanding enam mata wang utama, berada sedikit lebih tinggi di Asia pada 98.201, hampir ke paras tertinggi dalam tempoh dua minggu 98.339 yang dicatatkan Jumaat lalu.

Berbanding yen, dolar hampir tidak berubah pada 106.37 yen, menghampiri paras tertinggi seminggu pada 106.98 yen.

Mata wang yen dan franc, kedua-duanya cenderung untuk dibeli sebagai aset selamat semasa tempoh ketidaktentuan ekonomi, susut sedikit semalam berbanding mata wang lain.

Sentimen risiko boleh terus meningkat jika Washington menawarkan sebahagian konsesi kepada Huawei, yang membolehkan penyelesaian kepada perang perdagangan AS-China lebih menjadi satu kemungkinan.

Kerajaan AS pada Mei lalu menyenarai hitam Huawei Technologies, dengan menuduh pengeluar peralatan telekomunikasi terbesar dunia mencuri harta intelek.

Tuduhan itu, yang dinafikan oleh Huawei, menjadi satu punca serius peningkatan perang perdagangan.

-Reuters

Berita Harian X