Rabu, 21 Ogos 2019 | 3:01pm

Industri sawit bangkit lawan persepsi

KUALA LUMPUR: Pada pagi 26 Februari lalu, eksekutif daripada firma perunding di Washington membentangkan kertas strategi kepada beberapa pegawai kanan dalam industri sawit Malaysia.

Mesejnya, jangan benarkan aktivis alam sekitar dan kerajaan Barat merosakkan industri sawit sehingga menyebabkan ia berakhir seperti komoditi yang semakin terpinggir, seperti tembakau.

Perdagangan sawit yang bernilai AS$60 bilion sering dipersalahkan oleh pejuang alam sekitar kerana kawasan luas hutan hujan tropika ditebang untuk menanam komoditi itu yang digunakan oleh berbilion orang.

Malaysia dan Indonesia, yang mengeluarkan kira-kira 85 peratus sawit dunia, secara dasarnya pasif bertindak balas, sebaliknya selesa bergantung kepada kemapanan permintaan minyak yang digunakan untuk memasak dan menghasilkan barangan seperti sabun dan syampu, makanan snek, pizza, roti serta biodiesel.

Makanan merangkumi hampir 70 peratus penggunaan global sawit.

Namun, tahun lalu Malaysia melancarkan satu hubungan awam global dan melobi untuk melindungi reputasinya sebagai eksport utama negara, khususnya di Eropah.

Kesatuan Eropah (EU) awal tahun ini meluluskan akta untuk menghentikan sawit daripada bahan api boleh diperbaharui menjelang 2030 dengan alasan penebangan hutan.

Walaupun permintaan bagi sawit yang digunakan dalam biodiesel di EU merangkumi sebahagian bekalan global, pengeluar sawit di Malaysia dan Indonesia bimbang peraturan itu akan memaksa kawal selia penggunaannya dalam makanan.

Malaysia memimpin serangan berbentuk hubungan awam sejak EU mula menguatkuasakan undang-undang itu, kerana ia lebih bergantung kepada eksport berbanding pesaingnya, Indonesia dan 85 peratus daripada pengeluaran sawitnya di luar negara setiap tahun.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata peraturan EU itu ‘amat tidak adil’ dan satu cubaan untuk melindungi minyak alternatif yang dihasilkan oleh Eropah.

Kempen publisiti yang disasarkan kepada pengkritik sawit itu disusun oleh Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), agensi kerajaan yang bertanggungjawab mempromosikan sawit dan meneroka peluang perdagangan produk itu.

Agensi itu dibiayai sebahagiannya oleh yuran yang dibayar oleh syarikat perladangan berasaskan sawit.

Lembaga pengarah MPOC termasuk wakil daripada syarikat perladangan, termasuk Sime Darby Plantation Bhd, penanam sawit terbesar dari segi saiz tanah dan IOI Corp.

Wakil daripada kedua-dua syarikat berkenaan tidak memberikan maklum balas untuk mendapatkan kenyataan.

-Reuters

Berita Harian X