Rabu, 21 Ogos 2019 | 8:03pm
GABENOR Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Khidmat Nasihat Pembiayaan kerjasama dengan Bank Negara Malaysia, Credit Guarantee Corporation (CGC) dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), di Sasana Kijang. NSTP/Nurul Shafina Jemenon.

Lebih ramai boleh mohon Dana Rumah Mampu Milik

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) menambah baik kriteria kelayakan dan ciri-ciri Dana Rumah Mampu Milik RM1 bilion, apabila menaikkan kelayakan pendapatan maksimum bulanan isi rumah kepada RM4,360 berbanding RM2,300 sebelum ini.

Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, berkata penambahbaikan itu adalah bagi membantu pembeli rumah berpendapatan rendah membiayai pembelian rumah pertama.

Penambahbaikan juga, katanya membabitkan had harga maksimum rumah layak dibiayai dinaikkan kepada RM300,000 berbanding RM150,000 sebelum ini.

"Meningkatkan had harga maksimum rumah layak dibiayai itu sejajar dengan definisi harga rumah mampu milik dalam Dasar Perumahan Mampu Milik Negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran penubuhan Khidmat Nasihat Pembiayaan (MyKNP), inisiatif kerjasama antaraCredit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) di sini, hari ini.

Penambahbaikan kepada kriteria kelayakan dan ciri-ciri Dana Rumah Mampu Milik RM1 bilion itu akan berkuatkuasa 1 September 2019.

Dana Rumah Mampu Milik RM1 bilion dilancarkan awal tahun ini bagi membantu kumpulan berpendapatan rendah membiayai pembelian rumah pertama.

Sementara itu, Penolong Gabenor BNM, Adnan Zaylani Mohamad Zahid, berkata setakat ini sebanyak 700 permohonan diterima untuk dana khas itu.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 296 permohonan diluluskan bernilai RM31 juta.

Dalam satu kenyataan berasingan, BNM berkata, orang ramai boleh menghubungi institusi kewangan yang mengambil bahagian untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Institusi kewangan berkenaan ialah AmBank (M) Bhd, Bank Simpanan Nasional (BSN), CIMB Bank Bhd, Malayan Banking Bhd dan RHB Bank Bhd.

Orang ramai juga boleh menghubungi BNMTELELINK di talian 1-300-88-5465.

Berita Harian X