Isnin, 26 Ogos 2019 | 8:44am
PRESIDEN Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Aria Putera Ismail. - Foto Salhani Ibrahim

SME Bank sedia lebih banyak khidmat platform digital

KUALA LUMPUR: Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Bhd (SME Bank), agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan, memulakan program transformasi digital bertujuan menawarkan perkhidmatan melepasi pembiayaan, kepada kemudahan dan penyelesaian baharu untuk PKS dan ekosistemnya.

Presiden Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Aria Putera Ismail, berkata menerusi Program Pencepat dua Tahun 2019-2020 yang bermula akhir tahun lalu, bank itu membentuk satu set arahan dan inisiatif baharu untuk meningkatkan perkhidmatannya, termasuk Platform Digital PKS Kebangsaan, selari Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) untuk memperkasa penggunaan teknologi inovatif.

"Menerusi Pelan Digital SME Kebangsaan, empat komponen diperkenal bank itu dalam masa terdekat dengan PKS bukan sahaja mempunyai lebih banyak akses kepada pembiayaan, dan pihak yang boleh membangunkannya, malah turut membantu mereka serta usahawan mikro untuk bergerak ke peringkat seterusnya dan berkembang menjadi pemain besar suatu hari nanti.

"Kami juga ingin memastikan bahawa di bawah hala tuju baharu ini, setiap ringgit yang kami belanjakan, akan mewujudkan impak sekunder untuk memberi sumbangan yang lebih tinggi kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara ini sejajar dengan DKN 2030," katanya kepada BERNAMA.

Aria berkata, dua daripada komponen, iaitu 'insightXcess' dan 'scoreXcess', akan dilancarkan pada suku ketiga (Q3) tahun ini, manakala dua komponen lain ialah 'payXcess' dan 'bizXcess' pada 2020.

Beliau berkata 'insightXcess' akan membolehkan SME Bank memahami persekitaran pasaran dan arah aliran yang akan membolehkan bank itu memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada PKS.

'ScoreXcess' ialah platform kad skor digital yang akan menyediakan kajian prakelulusan yang memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk agensi berkaitan apabila mereka menerima permohonan pembiayaan daripada SME.

Ini akan menjadi penggerak perubahan yang membolehkan akses kepada pembiayaan akan lebih cekap dan lebih pantas.

Sementara itu, bagi 'payXcess', Aria berkata ia berfungsi sebagai akaun semasa digital, memudahkan pembayaran oleh agensi, serta profil pelanggan melalui Nilai Hayat PKS, untuk memudahkan agensi mengenal pasti program pembangunan yang sesuai untuk PKS berkembang ke peringkat seterusnya berdasarkan rekod prestasi pembiayaan mereka.

"Pelancarannya akan dilakukan setelah kami memenuhi semua syarat dan kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM)," katanya.

"Komponen keempat, 'bizXcess', bukan saja menyediakan e-pasaran untuk perniagaan-kepada-perniagaan (B2B) bagi memasarkan produk dan perkhidmatan malah juga bertindak sebagai pusat pemprosesan e-perolehan," kata Aria.

Ditanya berhubung perbelanjaan modal (capex) yang telah diperuntukkan oleh SME Bank untuk perjalanan digitalisasinya, beliau berkata bank itu belum menanggung sejumlah besar modal kerana inisiatif itu dilakukan melalui perkongsian strategik dengan entiti swasta. - BERNAMA

Berita Harian X