Isnin, 26 Ogos 2019 | 1:49pm

Tawaran Maju Holdings ambil alih Plus masih dinilai

KUALA LUMPUR: Cadangan rasmi daripada Maju Holdings Sdn Bhd untuk mengambil alih PLUS Malaysia Bhd, syarikat konsesi lebuh raya terbesar di Malaysia, masih dalam proses penilaian, demikian menurut Kementerian Kerja Raya.

Dalam kenyataan hari ini, kementerian itu berkata cadangan tawaran itu, yang membabitkan pengurangan kadar tol yang ketara, kelihatan menarik.

"Menteri berkenaan (Baru Bian) menyatakan kementerian menerima cadangan daripada Maju Holdings dan masih dalam proses menilai merit dan daya majunya.

"Kementerian akan membentangkan dalam Kabinet - 'Langkah ke Hadapan bagi Jalan Raya Bertol di Malaysia’ pada awal bulan depan, yang akan berdasarkan kepada laporan akhir yang disediakan oleh perunding bebas pada Januari 2019," kata kementerian itu.

Kenyataan itu turut menyatakan hanya selepas keputusan Kabinet dibuat, kerajaan akan dapat mempertimbangkan semua cadangan berhubung pengambilalihan lebuh raya bertol di negara ini, termasuk tawaran Maju Holdings-PLUS.

Pada 22 Ogos, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan belum membuat keputusan berhubung cadangan Maju Holdings-PLUS dan mengesahkan kutipan tol lebuh raya itu akan diteruskan walaupun konsesi PLUS diambil alih oleh mana-mana entiti lain.

Maju Holdings yang dikuasai ahli perniagaan Tan Sri Abu Sahid Mohamed, dilaporkan pernah membuat tawaran sebanyak RM36 bilion untuk mengambil alih PLUS pada 2017. - BERNAMA

Berita Harian X