Isnin, 26 Ogos 2019 | 7:28pm
Dr Hatta beramah mesra bersama sebahagian usahawan pada Program Promosi Keusahawanan MED ke Yangon Myanmar sempena Persidangan Malaysia-Myanmar Connect 2019 di Pejabat TEKUN Nasional, Kuala Lumpur. - NSTP/Syarafiq Abd Samad

Kukuhkan pembiayaan mikro TEKUN

KUALA LUMPUR: Keupayaan pembiayaan mikro Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional akan terus diperkukuhkan dalam usaha menjayakan sasaran Malaysia menjadi negara keusahawanan menjelang 2030.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan (MED), Datuk Dr Hatta Ramli, berkata langkah itu perlu dilakukan jika Malaysia benar-benar serius mahu membangunkan usahawan mikro, kecil dan sederhana keluar daripada takuk lama.

Maka, katanya, kementerian mengharapkan peruntukkan untuk pembiayaan mikro akan ditambah dalam bajet tahunan negara akan datang selain memanfaatkan pembiayaan dalaman TEKUN sedia ada.

“Itu akan diusahakan (menambah dana dalam TEKUN), setakat ini belum ada lagi (kata putus) dan kita tunggu dulu macam mana bajet yang akan diumumkan nanti.

“Kalau usahawan kita mempunyai rekod bayaran balik baik saya rasa lebih ramai lagi orang akan menikmati pembiayaan daripada TEKUN pada masa depan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau sebelum itu menyampaikan amanat pelepasan kepada 19 syarikat usahawan TEKUN yang akan menyertai Misi Program Promosi Keusahawanan MED ke Yangon Myanmar sempena Persidangan Malaysia-Myanmar Connect 2019.

Siri kedua Program Promosi Keusahawanan MED 2019 itu akan berlangsung selama lima hari bermula esok yang mana mengetengahkan usahawan TEKUN yang berjaya untuk meneroka pasaran luar negara selain mengetengahkan produk tempatan ke pasaran global.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional, Datuk Adam Abd Ghani; dan Ketua Bahagian Hubungan Antarabangsa dan Projek Khas TEKUN, Norli Alias.

Mengulas lanjut, Dr Hatta, berkata tindakan usahawan PKS di bawah didikan TEKUN menaja sendiri semua perbelanjaan mereka ke sana membuktikan kesungguhan usahawan tempatan berjiwa besar untuk menembusi pasaran global.

Katanya, pihak kementerian pula akan membantu mempermudahkan penerokaan usahawan ke luar negara menerusi program seperti itu selain menyediakan agensi pembiayaan untuk membantu mengembangkan perniagaan usahawan tempatan.

“Kalau tiada usaha seperti ini maka kita akan tepu di takuk lama, maka ini antara cara kita membantu mereka meneroka pasaran eksport selain hanya menumpukan kepada pengeluaran dalam negara.

“Kerana pasaran Malaysia terhad ditambah lagi 400,000 lebih usahawan di negara ini, maka kena buka pasaran luar supaya mereka ada ada peningkatan daripada terus-terusan dalam lingkungan PKS kelak boleh diperkembangkan kepada syarikat besar,” katanya.

Berita Harian X