Rabu, 28 Ogos 2019 | 9:21am
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Bhd, Tan Sri Tony Fernandes.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Bhd, Tan Sri Tony Fernandes.

AirAsia pertimbang terbang ke Albania

KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia, akan mempertimbangkan untuk menawarkan perkhidmatan bagi laluan ke Albania, demikian menurut Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Bhd, Tan Sri Tony Fernandes.

Negara yang terletak di tenggara Eropah itu boleh menjadi antara laluannya di rantau itu, pasaran yang dibayangkan untuk kemasukan semula AirAsia.

“Mengapa tidak? AirAsia sentiasa mencari destinasi yang berbeza dan tidak pernah terlintas di fikiran saya berhubung Albania. Kami akan menelitinya.

“Menteri Albania (Menteri Pelancongan dan Alam Sekitar, Blendi Klosi) amat positif (berhubung perkhidmatan kami di negara itu). Sehubungan itu, kita lihat nanti,” katanya kepada BERNAMA di luar Persidangan Pelancongan Dunia 2019 di sini, semalam.

Tony, adalah antara penceramah di persidangan tersebut, berkongsi pengalamannya mengenai usaha mentransformasikan AirAsia daripada syarikat kecil yang rugi kepada firma terkemuka global dalam industri penerbangan.

Klosi, yang juga penceramah dalam acara itu, mengalu-alukan kehadiran AirAsia, dan katanya, perkhidmatan penerbangan itu akan membantu mempromosikan pelancongan Albania serta negara lain di Balkan.

Semasa persidangan itu, kedua-dua mereka secara berseloroh bersetuju untuk AirAsia menawarkan penerbangan ke Albania sekiranya negara itu bersedia menyediakan perkhidmatan lapangan terbang secara percuma dan bantuan promosi.

Sebelum ini, Pengerusi AirAsia X Bhd, Tan Sri Rafidah Aziz, berkata syarikat penerbangan itu berhasrat memperluaskan pasarannya dan tidak menolak kemungkinan memasuki semula pasaran Eropah.

Awal bulan ini, Tony berkata Thai AirAsia X akan terbang ke Eropah pada akhir tahun ini atau awal tahun depan.

Beliau berkata, syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh itu telah memohon kelulusan daripada pihak berkuasa berkaitan. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X