Rabu, 28 Ogos 2019 | 12:54pm
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking (dua kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automatik Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Madani Sahari (kanan) serta Pengerusi MARii, Datuk Phang Ah Tong (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Timbalan Naib Canselor Industri, Komuniti dan Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Datuk Dr Rahmat Mohamad (dua kiri) pada Majlis Pelancaran Pembangunan Industri 4.0 Kemahiran Tenaga Pekerja di MArii Cyberjaya. - Foto Luqman Hakim Zubir

MARii sasar lahirkan 4,000 bakat IR 4.0

CYBERJAYA: Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) menyasarkan untuk melahirkan 4,000 bakat menjelang akhir tahun ini menerusi program Pensijilan Profesional Berasaskan Industri Industr4WRD (IPC Industr4WRD).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Madani Sahari, berkata setakat ini 1,185 pelatih IPC Industr4WRD sudah menamatkan latihan berasaskan teori dan akan ditempatkan dalam industri untuk fasa seterusnya menerusi program berkenaan.

“Program IPC Industr4WRD akan memberi tumpuan kepada bahagian utama termasuk keselamatan siber dalam pembuatan pintar, simulasi, kejuruteraan berbantu komputer (CAE), kembar digital dan analitik data raya.

“Ini adalah inisiatif kami untuk melahirkan bakat yang akan menjadi sebahagian daripada rangkaian nasional dalam sektor pekerjaan berkemahiran dengan asas utama hasil dari graduasi dalam program ini,” katanya.

Program IPC Industr4WRD dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Darell Leiking.

Hadir sama ialah Pengerusi MARii, Datuk Phang Ah Tong dan Timbalan Naib Canselor Industri, Komuniti dan Alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Datuk Dr Rahmat Mohamad.

Madani berkata, IPC Industr4WRD adalah tawaran terkini MARii untuk membangunkan bakat yang diperlukan untuk menjayakan Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) menerusi sembilan tunjang utama pelaksanaan IR 4.0 dengan objektif untuk memperkemaskan pelaksanaan sektor pembuatan pintar, automasi dan robotik.

“Selepas menamatkan sesi pembelajaran teori, peserta akan meneruskan latihan semasa bekerja (OJT) dalam pelbagai bidang industri dalam tempoh 150 hari untuk menimba pengalaman dalam persekitaran kerja sebenar, budaya dan proses kerja.

“Setiap modul dalam program IPC Industr4WRD direka untuk membolehkan peserta menyerap asas teknologi dan sistem dalam sektor pembuatan pintar, automasi dan robotik yang akan memacu kejayaan sektor berkaitan,” katanya.

Sesi teori program IPC Industr4WRD akan dikendalikan MARii hasil kerjasama dengan UiTM merangkumi 17 kampus di seluruh negara.

Peserta yang menyertai program itu akan dipantau dan dinilai oleh MARii dalam tempoh 150 hari bagi memastikan perkembangan kemahiran pelatih berterusan.

Peserta juga akan diberikan elaun kompetitif termasuk kerja lebih masa.

Berita Harian X